Datin Seri Asmah Ab Rahman, isteri bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dipilih Tokoh Ibu 2014 bagi negeri Melaka sempena sambutan Hari Ibu peringkat negeri di sini, hari ini.

Asmah, 59, dipilih hasil penglibatan aktif beliau dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan pembangunan wanita di negeri itu termasuk menjadi Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan negeri Melaka dan Pengerusi Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Melaka.

Anugerah tersebut disampaikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Turut hadir pada sambutan bertemakan 'Ibu di Hati, Syurga Menanti' itu ialah Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Siti Norlasiah Ismail.

Asmah yang mempunyai tiga anak berusia antara 24 dan 28 tahun ketika dihubungi, berkata beliau terpaksa berkorban demi keluarga terutama dalam membesarkan anak-anak ekoran tanggungjawab suaminya sebagai ahli politik serta ketua menteri selama 13 tahun.

"Suami saya juga sentiasa menjadikan saya tempat berkongsi pelbagai masalah yang dihadapinya," katanya.

Sementara itu, Idris ketika berucap berkata golongan ibu perlu mengutamakan kesihatan bukan hanya untuk menjaga diri, suami dan anak-anak tetapi juga menjadi pekerja produktif dan efektif yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Dalam pada itu beliau berkata berdasarkan statistik, bilangan wanita di Melaka yang mendapatkan pemeriksaan bagi penyakit kanser payu dara dan servik masih sedikit, sekali gus menunjukkan kesedaran mereka mengenai penyakit tersebut masih pada tahap rendah.

Katanya hanya 2,067 wanita di Melaka mendapatkan pemeriksaan mamogram sebagai langkah mengesan kanser payu dara pada tahun lepas dengan 10 daripadanya dirujuk ke hospital negeri itu untuk pemeriksaan lanjut.

Bagi pencegahan kanser servik pula katanya sebanyak 233 wanita menjalani pemeriksaan pap smear pada tahun lepas dengan dua daripadanya dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Justeru, beliau mahu golongan wanita memandang serius kedua-dua penyakit tersebut dan mengambil langkah pencegahan awal melalui pemeriksaan kesihatan.