KUALA LUMPUR: Isteri kepada bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa berkait Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan semakan sistem e-filing (EFS) mahkamah, tertera nama Na'imah Abdul Khalid tersenarai di Mahkamah Sesyen Jenayah 9 di hadapan hakim Azura Alwi jam 9 pagi Selasa.

Difahamkan Na'imah akan didakwa mengikut Akta SPRM 2009.

Pada 10 Januari lalu, Naimah bersama dua anak daim hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Ketika ditemui pemberita di luar pekarangan, Naimah mendakwa suami iaitu Tun Daim yang juga ahli perniagaan dianiaya atas kejayaannya.

Dia menegaskan bahawa keluarganya tidak pernah merahsiakan memiliki aset di luar negara yang didakwa hasil daripada aktiviti perniagaan dan pelaburan sebelum pembabitan Daim dalam politik.

SPRM sedang menyiasat Daim berhubung pendedahan kekayaannya dalam kebocoran rekod kewangan antarabangsa yang dikenali sebagai kertas pandora.