KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan membuka kertas siasatan ke atas Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo berhubung satu video yang dimuat naik menerusi YouTube dengan hantaran yang mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan ke atas Papagomo itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Hantaran secara langsung bertarikh 16 Disember yang berdurasi satu jam 32 minit dan 50 saat, bertajuk DSAI Penyakit Misteri Tiada Penawar AIDS itu masih boleh diakses di platform berkenaan menerusi akaun bernama Sir Azri," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Rusdi memberitahu, kes itu disiasat mengikut Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang sepekulasi atau komentar yang boleh mengganggu proses siasatan.

"Kes masih di peringkat siasatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau atau komentar yang boleh mengganggu proses siasatan," tegasnya.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggunakan platform media sosial untuk mengulas atau memanipulasi sebarang isu sehingga menyentuh isu ketenteraman awam, prinisp moral, fitnah atau mengapi-apikan mana-mana kesalahan.