Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diminta menghentikan serangan politik terhadap pihak lain berhubung isu pembelian banglonya bernilai RM2.8 juta yang sedang dihadapinya.

Tindakan berkenaan yang didakwa cuba mengalih tumpuan daripada isu sebenar, dilihat tidak akan menamatkan kontroversi itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebaliknya mendesak Guan Eng bersikap profesional dan lebih telus.

"Kita tidak boleh mempunyai pemimpin yang gemar menyalahkan pihak lain, yang menuduh kontroversi sebagai agenda parti lawan, mereka tuding jari kepada pihak lain.

"Dia (Lim Guan Eng) lebih teruk daripada kita, apabila tidak dapat selesaikan masalah, mereka tuding jari dan tidak mengatasi masalah dengan mengakui masalah itu," tegas Khairy.

BACA: Lim Guan Eng dijangka beri keterangan kepada SPRM minggu depan

BACA: Isu banglo RM2.8 juta: Kita akan panggil Li Koon dan Guan Eng - Khalid

VIDEO: Terserah kepada Lim Guan Eng mahu bercuti atau tidak - KJ

Kata Khairy, mana-mana pemimpin yang terlibat dengan kontroversi bertanggungjawab membuat penjelasan.

Ini kerana rakyat mahu jawapan daripada pemimpin, khususnya melibatkan penyelewengan besar seperti pembelian rumah banglo, termasuk yang melanda Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini.

"Dalam hal ini saya ambil pendekatan tidak perlu kita alihkan isu dengan serangan politik kepada orang lain, kita kendalikan isu ini secara profesional, telus, itu yang sepatutnya,"kata Khairy.

DAP Pulau Pinang sebelum ini mendakwa pendedahan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahya berhubung pembelian banglo Guan Eng di bawah nilai pasaran sebagai bermotifkan politik dan didalangi UMNO dan Barisan Nasional.