KOTA KINABALU: Bekas Presiden Kehormat Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) Negeri Sabah Datuk Jerry Ambuting Mohd Said berkata kenyataan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau mengenai isu “countdown” tuntutan 40 peratus hasil Sabah tidak mencerminkan keseluruhan proses rundingan yang sedang berjalan.
Beliau menegaskan isu itu tidak wajar dipolitikkan kerana rundingan masih berlangsung di peringkat teknikal dan dasar manakala kenyataan terbuka seperti itu berpotensi menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat.
Advertisement
Jerry Ambuting berkata rundingan berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijalankan melalui saluran rasmi termasuk platform Jawatankuasa Teknikal Majlis Perunding MA63, yang memerlukan penelitian mendalam serta pertimbangan undang-undang dan fiskal.
“Proses rundingan turut mengambil kira pelbagai aspek termasuk implikasi kewangan negara serta kepentingan bersama antara Persekutuan dan Sabah. Ia tidak boleh diselesaikan secara tergesa-gesa semata-mata untuk memenuhi tekanan tempoh masa.
“Menghormati keputusan mahkamah adalah penting namun pada masa sama, semua pihak perlu memberi ruang kepada proses rundingan yang matang, teliti dan berasaskan fakta bukannya persepsi,” katanya.
Terdahulu, Madius menerusi hantaran di Facebook mempersoalkan ketiadaan perkembangan rundingan susulan keputusan mahkamah yang menetapkan tempoh 180 hari untuk memuktamadkan perkara itu, dengan tempoh berkenaan dijangka berakhir pada 15 April ini.
Jerry Ambuting menegaskan Madius yang pernah berkhidmat sebagai menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan serta Timbalan Ketua Menteri Sabah sepatutnya lebih memahami kerumitan proses rundingan antara kedua-dua pihak.
“Beliau seharusnya arif bahawa rundingan yang melibatkan kepentingan fiskal, perundangan dan dasar memerlukan masa serta perbincangan di pelbagai peringkat, bukan hanya dinilai berdasarkan kenyataan terbuka,” katanya.
Beliau turut menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan jaminan jelas mengenai komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu berkaitan hak Sabah termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri, selaras dengan semangat Perlembagaan dan MA63.
Sehubungan itu, Jerry Ambuting menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam mengulas isu berkepentingan negeri serta mengutamakan pendekatan konstruktif bagi memastikan tuntutan hak Sabah dapat direalisasikan secara berkesan dan berlandaskan lunas undang-undang.
-- BERNAMA