KUALA LUMPUR: Isu dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sekali lagi menghangatkan persidangan Dewan Rakyat hari ini apabila wakil rakyat blok pembangkang yang tidak berpuas hati dengan jawapan Menteri Perpaduan semasa penggulungan semalam, membangkitkan semula perkara itu.

Perkara itu kembali dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) sebaik selesai sesi soal jawab lisan apabila bangun mempersoalkan perkara itu dengan merujuk Peraturan Mesyuarat untuk meminta penjelasan berhubung perkara itu.

Rayer tidak berpuas hati dengan jawapan Datuk Halimah Mohamed Sadique semalam yang menyatakan bahawa beliau tidak boleh menjawab isu itu susulan siasatan oleh SPRM sedang dijalankan dan meminta panduan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai perkara itu.


YB Jelutong kemuka isu peraturan

Keadaan itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang bangun mempersoalkan perkara sama, termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta isu yang dikatakan sensitif itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

"...kenyataan itu sangat berbahaya kerana kalau ini disebut, tiada permasalahan rasuah dan skandal boleh dibincang di Parlimen, semua dalam siasatan, sebahagian besar di mahkamah, dan tak boleh diberikan penjelasan, (ini) akan jadikan Parlimen ini sindiran tempat untuk kita bersandiwara.

"Ini bukan sahaja soal MITRA, (bila) semua kes disebut....jawapan boleh macam tu juga SPRM menasihatkan, kerana perkara ini dalam siasatan tak payah bincang...saya tidak tahu sah atau tidak SPRM bagi nasihat begitu," katanya.

Beliau meminta agar wakil rakyat diberi ruang menyoal apa sahaja perkara yang didakwa berlaku penyelewengan dan rasuah dan jangan menjadikan Parlimen sebagai tempat untuk menolak semua perbincangan mengenai substantif.

"...ini bukan semangat dalam persefahaman kita, persefahaman kata dalam surat Perdana Menteri kepada saya jelas menyebut tidak menolak keadaan imbang, peranan semak dan imbang diteruskan selaku Ketua Pembangkang," katanya.


Isu Mitra, Dewan Rakyat kecoh

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon yang ketika itu mempengerusikan mesyuarat menjelaskan jawapan yang diberikan Halimah bahawa isu itu sedang disiasat dan mencadangkan Rayer untuk mengemukakan rayuan usul kepadanya.

Bagaimanapun beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang lain, antaranya M.Kulasegaran (PH-Ipoh Barat), P.Kasthuriraani (PH-Batu Kawan), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), Lim Guan Eng (PH-Bagan) dan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) turut bangun mempersolakan perkara sama dan meminta Mohd Rashid membuat keputusan mengenai perkara itu.

Keadaan itu menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun masuk menggantikan Mohd Rashid dan memberi penjelasan dengan merujuk kepada buku Amalan Parlimen oleh Erskine May yang menyatakan bahawa Speaker tidak mempunyai kuasa untuk memaksa menteri menjawab soalan-soalan yang diajukan.

"Tanggungjawab Speaker untuk soalan-soalan adalah terhad kepada pematuhanan dengan peraturan...itu sahaja...tanggungjawab Speaker...soalan kena mematuhi dengan peraturan, itu sahaja tanggungjawab saya.

"...dan tanggungjawab untuk jawapan terletak pada menteri bukan dengan Speaker, okay? jadi menteri ada ada tanggungjawab untuk jawab, tapi Speaker tak ada kuasa atau tanggungjawab untuk paksa beliau (menteri) menjawab.

Beliau berkata menurut Erskine May, soalan yang enggan dijawab oleh seorang menteri tidak dapat ditangani oleh menteri lain dan itu juga membayangkan bahawa seorang menteri mungkin enggan menjawab sebarang soalan dan jawapan kepada soalan tidak boleh dipaksa jika menteri enggan memberi jawapan.

Penjelasan Azhar itu meredakan keadaan dan membolehkan sesi penggulungan yang tertangguh kira-kira 40 minit disambung dengan penggulungan oleh Menteri Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

-- BERNAMA