Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini hadir untuk hari ketiga berturut-turut di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyambung beri keterangan berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.

Bekas timbalan perdana menteri itu tiba di perkarangan lobi SPRM pada pukul 9.20 pagi dengan menaiki sebuah kereta SUV berwarna putih.

Siasatan adalah berhubung dana Yayasan Akal Budi yang didakwa digunakan bagi menjelaskan hutang kad kredit milik beliau dan isterinya membabitkan nilai mencecah RM800,000.

Secara keseluruhan, ini kali kelima beliau dipanggil memberi keterangan di SPRM, yang mana empat kali berhubung yayasan tersebut, dan sekali berhubung isu dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.




Turut dipanggil memberi keterangan sebelum ini ialah anak dan menantu beliau, Datuk Nurulhidayah dan Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff, serta adik tiri Ahmad Zahid, iaitu Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.