MAKKAH: Isu kebajikan jemaah haji Malaysia termasuklah masalah kesesakan dan ruang sempit dalam khemah di Mina mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, Seri Paduka Baginda mahu perkara itu diselesaikan dan titah berkenaan disampaikan melalui mesej kepadanya pada pagi Sabtu.

Susulan daripada itu, Mohd Na'im berkata, satu ijtihad (pandangan) baharu boleh dibawa oleh Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji kepada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan bagi mengatasi masalah ruang yang sempit dalam khemah penginapan di Mina.

Beliau berkata, tanpa usaha itu kemungkinan isu berkenaan akan terus berulang dan tidak boleh diselesaikan kerana keluasan Mina adalah sama dan tidak akan berubah.

"Isu sempit dan kesukaran yang dialami jemaah kita ketika bermabit di Mina perlu dilihat semula, maka ia perlu dibincangkan secara teliti supaya satu penyelesaian terbaik boleh dicapai," katanya.

Mohd Na'im (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat TH di Abraj Al Janadriyah. Turut hadir Azman Mokhtar (kiri) dan Syed Hamadah.

Mohd Na'im berkata, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah membenarkan jemaah tinggal di luar kawasan Mina dan berulang-alik untuk bermabit di Mina seperti yang dilakukan jemaah haji negara lain.

"Seingat saya Dr Juanda Jaya (bekas Mufti Perlis) pernah memberi pandangan berkenaan perkara ini dalam usaha memastikan kebajikan jemaah haji terjaga.

"Saya serahkan kepada Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji kerana jumlah jemaah haji terus bertambah dan kita mahukan jemaah kita dapat beribadah dalam keadaan selesa dan tidak menjejaskan ibadah mereka," katanya.

Mohd Na'im berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraz Al Janadriyah di sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Kelmarin, Syed Hamadah menjelaskan bahawa ruang dan saiz di dalam sebuah khemah Mina di luar kawalan TH kerana ia disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk semua negara.

Katanya, sempadan kawasan Mina adalah ditetapkan oleh hukum dan tidak berubah dari dahulu walaupun jumlah jemaah haji semakin meningkat setiap tahun seiring dengan peningkatan jumlah rakyat di sesebuah negara.

Isu kesukaran jemaah haji di Mina ditimbulkan sebuah portal berbahasa Inggeris yang melaporkan mengenai rungutan jemaah haji yang terpaksa bersesak dalam khemah.

Portal yang memetik sumber berkata, jemaah seramai 44 orang telah ditempatkan dalam khemah yang hanya boleh membuatkan 34 jemaah haji.

Berwukuf di Arafah, berada di Mudzalifah dan bermabit di Mina adalah kemuncak ibadah haji bagi umat Islam yang menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata, bagi meraih haji yang mabrur jemaah haji akan melalui pelbagai suasana dan keadaan yang kadangkala memberi kesan kepada keselesaan mereka.

Keadaan perkhemahan di Mina.- Foto Kementerian Haji dan Umrah.


"Setiap masa kita nasihatkan jemaah haji bahawa operasi Masyair ini banyak cabaran dan perlu dihadapi dengan penuh timbang rasa sebagaimana disebutkan oleh Imam An Nawawi di dalam kitab al-Idhah fi Manasik al-Hajj.

"Apa yang disebut Imam Nawawi ini saya rujuk sebagai peringatan supaya ada sifat toleransi, rahmah, kasih sayang, memahami antara satu sama lain," katanya.

Ujar Mohd Na'im, terdapat sikap segelintir jemaah haji yang bertindak agresif di Mina kerana tidak mampu sabar dengan ujian yang diterima mereka.

"Ada yang agresif dan maki petugas haji, ambil hak jemaah lain seperti tilam dan ini antara contoh yang boleh menghilangkan kemabruran haji.

"Saya pun diuji dengan penyaman udara yang rosak tetapi kita kena sabar kerana untuk memasuki syurga ALLAH bukan senang dan memerlukan pengorbanan," katanya.

Mohd Na'im bagaimana pun menghargai sebahagian besar jemaah haji Malaysia yang menunjukkan sikap yang baik hinggalah membolehkan operasi haji pada kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini. - Sinar Harian