Perbincangan antara kerajaan bersama Singapura bagi projek Kereta Api Kelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dilaporkan hampir selesai di mana kedua-dua negara bakal menguntungkan kedua belah pihak.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini berada di negara berkenaan bertemu dengan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan dalam satu mesyuarat hari ini.

"Berunding lanjut dengan menteri, Khaw. Kami semakin hampir merundingkan penyelesaian yang kini dalam situasi menang-menang mengenai HSR. Terima kasih atas kerja keras para pegawai daripada kedua-dua pihak," katanya melalui Twitternya hari ini.






Azmin tiba di Singapura malam tadi dan sempat bertemu Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan.

"Mendapat peluang bertukar-tukar pendapat tentang perkara-perkara yang luas termasuk kebimbangan geopolitik. Membincangkan cara terbaik bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala ke peringkat seterusnya," katanya.


Pada 24 Ogos lalu, Azmin mengadakan pertemuan kedua dengan Boon Wan di Kuala Lumpur bagi membincangkan berkenaan selepas kerajaan berhasrat menghentikan projek berkenaan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula berkata HSR mungkin akan ditangguhkan setelah mengkaji situasi ekonomi negara.

Kementerian Kewangan mengesahkan kepada Dewan Rakyat, perkiraan kos keseluruhan projek HSR mencecah RM110 bilion.