KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh hari ini menegaskan akan mengerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis agar satu siasatan dijalankan pihak berkuasa terhadap isu kebocoran 'Memo Dalaman' Jabatan Peguam Negara (AGC) baru-baru ini.

Ujarnya, meskipun desakan telah dibuat agar perkara itu dijawab oleh AGC, dan dimaklumkan Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun ada menyatakan siasatan sedang dijalankan, namun ujarnya, sehingga kini tiada jawapan yang sahih diberikan atas tuntutan itu.

"Pemuda UMNO Malaysia mengambil maklum akan kenyataan Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Idrus Harun yang menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan untuk menyiasat kebocoran dokumen tersebut.

"Walau bagaimanapun, Pemuda UMNO berasa terkilan kerana sehingga ke hari ini, tidak ada maklum balas sahih yang menjawab kepada tuntutan agar siasatan dijalankan sama ada dokumen tersebut berserta isi kandungannya sahih ataupun tidak," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tegas Dr Akmal lagi, Pemuda UMNO amat kesal dengan tiada jawapan diterima meskipun telah mendesak agar satu siasatan dijalankan berkenaan kesahihan dokumen yang tular di media sosial yang didakwa 'memo aalaman" AGC bertarikh 10 Oktober 2019 itu.

"Namun, amat mendukacitakan apabila Jabatan Peguam Negara telah mengumumkan bahawa Peguam Negara kini sedang bercuti sehingga beliau bersara kelak pada 6 September 2023.

"Tindakan Peguam Negara mengumumkan bercuti tanpa memberikan hasil siasatan dan maklum balas wajar kepada desakan Pemuda UMNO Malaysia, telah meninggalkan isu ini tergantung tanpa ada sebarang jawapan.

"Sehingga ke hari ini, tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengesahkan kesahihan dokumen tersebut. Ini secara tidak langsung memberikan impak negatif kepada tahap keyakinan orang awam kepada Jabatan Peguam Negara," katanya lagi.

Justeru jelas Dr Akmal, Pemuda UMNO seluruh negara akan membuat laporan polis agar siasatan dijalankan terhadap perkara itu.

"Maka yang demikian, atas dasar prihatin dan memegang teguh kepada Rukun Negara Malaysia yang ke-3 dan ke-4, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, Pemuda UMNO akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis supaya satu siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa yang berkenaan, dan tindakan wajar diambil bagi mengembalikan keyakinan orang awam terhadap sistem perundangan Malaysia," ujar Dr Akmal lagi.

Sebelum ini, tular satu dokumen di media sosial didakwa 'Memo Dalaman" daripada AGC.

Memo terbabit mendakwa antara lain cadangan pasukan pendakwaan bagi kes International Petroleum Investment Company (IPIC) bertarikh 10 September 2019.

Kandungan itu sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah adalah tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie.

Dokumen terbabit dikatakan ditujukan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas ketika itu.