Skip to main content

Malaysia

Isu KWAP: SPRM kenal pasti Dubai, Indonesia dan Singapura bagi dapatkan dokumen siasatan

MELAKA, 28 Julai -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman, bercakap pada sidang media sempena majlis perasmian 22nd Secretariat Meeting of ASEAN Parties Against Corruption di sebuah hotel berhampiran Banda Hilir, hari ini.  —fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  MELAKA, July 28 -- Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) Chief Commissioner Datuk Seri Abd Halim Aman speaks during a press conference at the opening ceremony of the 22nd Secretariat Mee
Abd Halim bercakap pada sidang media sempena majlis perasmian 22nd Secretariat Meeting of ASEAN Parties Against Corruption di sebuah hotel berhampiran Banda Hilir, hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti Dubai, Singapura dan Indonesia sebagai tiga negara utama bagi mendapatkan dokumen menerusi proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dalam siasatan berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata pihaknya sedang berhubung dengan Jabatan Peguam Negara bagi melaksanakan proses MLA selepas percaya terdapat dokumen berkaitan pelaburan berkenaan yang berada di luar negara.

Beliau berkata setakat ini SPRM hanya meneliti dokumen yang diperoleh daripada KWAP dan Kementerian Kewangan (MOF).

"Kami percaya terdapat dokumen-dokumen yang berkaitan dengan pelaburan ini, yang terdapat di negara-negara luar ... kita akan berhubung dengan Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kerjasama untuk proses MLA diteruskan.

"Negara yang kita fokuskan bagi tujuan MLA ialah Dubai, Singapura dan Indonesia," katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucapan pembukaan 22nd Secretariat Meeting Of The ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC), di sini. 

Abd Halim berkata siasatan yang bermula secara rasmi pada 17 Julai lepas itu berjalan lancar dan mendapat kerjasama daripada semua pihak terlibat.

Beliau berkata daripada tarikh itu SPRM telah merakam keterangan 20 saksi, melibatkan pegawai KWAP, pegawai MOF, anggota Jawatankuasa Pelaburan KWAP serta ahli panel pelaburan.

"SPRM turut mengutus surat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan kerjasama dalam dua aspek, iaitu mendapatkan perincian melalui Egmont Group of Financial Intelligence Units bagi mengesan kedudukan kewangan dua syarikat di Indonesia dan sebuah di Singapura.

"Keduanya, kita memohon kerjasama BNM bagi menjalankan semakan laporan transaksi tunai (CTR) dan laporan transaksi mencurigakan (STR) untuk mengetahui kedudukan kewangan pihak-pihak yang berkaitan dalam siasatan itu," katanya.

Abd Halim berkata siasatan masih diteruskan dan proses MLA dijangka mengambil masa lebih lama kerana melibatkan bidang kuasa yang berbeza serta memerlukan kerjasama daripada negara-negara berkenaan.

" Ini termasuklah merakam kenyataan saksi-saksi dari luar negara tersebut, dan kita akan mendapatkan kerjasama bagi membolehkan proses MLA itu dapat dijalankan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan SPRM telah merakam keterangan beberapa individu dan pihak bagi membantu siasatan berhubung pelaburan RM200 juta dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement