GEORGE TOWN: Perbincangan bersama dengan pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu penguatkuasaan larangan aktiviti memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS), akan diadakan minggu depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan Pulau Pinang Datuk Rashidi Zinol berkata perkara itu, akan diteliti dengan mengambil kira aspek keselamatan, peraturan dan kelangsungan sumber pendapatan komuniti yang terlibat.
“Ketika sesi pertemuan baru-baru ini, isu penguatkuasaan larangan aktiviti memancing itu dibangkitkan pengusaha bot pelancong dan bot pemancing kepada saya.
“Rintihan mereka akan saya bawa untuk penelitian dan perbincangan bersama-sama pihak berkaitan, bagi mencari ruang penyelesaian yang terbaik minggu depan. Ia akan mengambil kira aspek keselamatan, peraturan dan kelangsungan sumber pendapatan komuniti yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Sebelum ini, kawasan di bawah Jambatan Pulau Pinang dan JSAHMS atau lebih dikenali jambatan kedua, diisytiharkan sebagai Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298), selain diklasifikasikan sebagai Sasaran Penting Negara.
Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mana-mana individu melanggar larangan itu, boleh didakwa di bawah Seksyen 7 Akta 298 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh.
Rashidi berkata penguatkuasaan larangan memancing di bawah kedua-dua jambatan itu memberi kesan langsung terhadap aktiviti memancing, selain permintaan terhadap perkhidmatan bot pemancing serta bot pelancong turut merosot sekali gus menjejaskan sumber pendapatan pengusaha bot.
“Kesannya turut melibatkan keseluruhan rantaian ekonomi yang bergantung kepada aktiviti itu termasuk pembekal peralatan dan barangan memancing, pembekal ais kiub, bekalan makanan serta perniagaan kecil lain,” katanya.
Beliau berkata pihaknya akan berusaha mencari pendekatan seimbang bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan peraturan terus diberi perhatian, tanpa menjejaskan kelangsungan sumber pendapatan komuniti pengusaha bot serta perniagaan berkaitan.
“Saya memahami di sebalik setiap bot yang beroperasi, terdapat keluarga dan rantaian peniaga kecil bergantung kepada aktiviti ini sebagai sumber rezeki,” katanya.
-- BERNAMA