KUALA LUMPUR: Dialog Group Berhad menafikan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat itu, Zainab Mohd Salleh adalah salah seorang pemegang saham syarikat pesisir luar pantai, Alizes Marine Limited yang terkait dengan skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

Perkara itu dijelaskan Dialog Group menerusi satu catatan di Facebook pada Isnin selepas CFO syarikat berkenaan dikaitkan dengan skandal LCS di media sosial.

“Kami ingin memaklumkan bahawa CFO dan Setiausaha Syarikat Bersama, Zainab Mohd Salleh telah disalah anggap sebagai seorang pemegang saham Alizes Marine Limited.

“Beliau merupakan isteri kepada Dr Noor Azmi Mat Adenan, perunding ginekologi-onkologi di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC),” menurut kenyataan ringkas syarikat itu.

Tegas Dialog Group, sebarang tuduhan palsu yang dilemparkan terhadap syarikat itu termasuk pengarah-pengarah dan kakitangannya tidak akan diambil ringan.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang atas sebarang tuduhan atau kenyataan yang mengelirukan.”


Terdahulu, beberapa muat naik di media sosial mendakwa CFO Dialog Group, Zainab Mohd Salleh mempunyai kaitan dengan skandal LCS melalui syarikat Alizes Marine Limited.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa kertas siasatan dalaman LCS menunjukkan individu bernama Zainab Mohd Salleh terlibat dalam dua syarikat pesisir luar pantai, Alizes Marine Limited dan Alizes Marine Labuan.

Beliau turut mendakwa Zainab merupakan isteri kedua kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Susulan itu, Dr Abdul Latiff dalam satu kenyataan menafikan Zainab Mohd Salleh adalah isteri beliau.