Keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyekat laman The Malaysian Insider diambil selepas pertimbangan teliti dibuat mengenai kesan terhadap penyekatan laman web berkenaan ke atas kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar di negara ini.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan menegaskan, tindakan SKMM itu dibuat kerana portal itu melanggar Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Negara berpegang kepada kebebasan bersuara dan hak untuk memperolehi maklumat-maklumat, namun hak dan kebebasan tersebut hendaklah diamalkan secara berhemah dan bertanggungjawab.

"Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan keharmonian negara ini serta memelihara nilai dan budaya masyrakat berbilang kaum di Malaysia," jelas kenyataan itu.

BACA: Panel Penilaian Operasi SPRM nafi laporan The Malaysian Insider

BACA: Laporan TMI berkenaan panel SPRM mengelirukan - KPN

BACA: 5 pengarang The Malaysian Insider disiasat polis

Pada pada 25 Februari, SKMM menyekat laman web berita The Malaysian Insider atas alasan melanggar undang-undang negara.

SKMM dalam satu kenyataan sebelum ini menjelaskan, sekatan itu juga dilakukan SKMM berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai.

Dalam perkembangan berkaitan jelas kenyataan Kementerian Luar, negara turut menghargai jalinan kerjasama komprehensif (Comprehensive Partnership) dengan pihak Amerika Syarikat (AS).

"Ia melambangkan hasrat ikhlas negara untuk mengekalkan kerjasama progresif dan dinamik dalam pelbagai bidang berkepentingan antara kedua-dua buah negara.

"Kita percaya bahawa AS turut berkongsi hasrat ini. Kita juga percaya bahawa hubungan dua hala ini dapat terus diperkukuhkan ke tahap yang lebih tinggi melalui kerjasama yang lebih akrab dan pemahaman yang lebih menyeluruh terhadap isu domestik di Malaysia," jelas kenyataan itu.