Jemaah Menteri hari ini bersetuju menambah bilangan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 sebelum ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan pelajar-pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik bagi melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

"Kerajaan Pakatan Harapan (PH)melihat wujud keperluan utama untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains, dan kapasiti yang ada pada Program Matrikulasi wajar dimaksimumkan untuk tujuan ini.

"Keputusan ini juga dilihat sebagai kaedah terbaik dalam memastikan Program Matrikulasi KPM dapat memberikan peluang pendidikan kepada semua kaum," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, KPM telah membangkitkan isu berkaitan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi KPM di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

BACA: Kabinet bincang isu kuota matrikulasi untuk bukan Bumiputera - Syed Saddiq

Mengenai isu kuota, Maszlee berkata, Jemaah Menteri juga memutuskan kuota 90 peratus untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera turut dikekalkan.

Ia selaras dengan visi asal Program Matrikulasi KPM bagi menggalakkan pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.

Berhubung kos susulan pertambahan jumlah pelajar ini, beliau menjelaskan, KPM akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.

Jemaah Menteri juga telah meminta KPM menilai pendekatan strategik yang bersesuaian, termasuk menggunakan premis dan kepakaran di Institut Pendidikan Guru (IPG), bagi menampung pertambahan yang diputuskan ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata Maszlee akan membawa isu Matrikulasi ke mesyuarat kabinet hari ini bagi mendapatkan keputusan sewajarnya berhubung pelbagai perkara berbangkit mengenai kemasukan ke program itu.

Menurutnya, KPM telah melihat semula semua cadangan termasuk cadangan penambahan kuota kaum bukan Bumiputera yang perlu, selaras dengan dasar asal 90:10.

Katanya, hanya terdapat 25,000 pengambilan setiap tahun, jadi dasar semasa adalah 22,500 untuk pelajar bumiputera dan 2,500 untuk bukan bumiputera.

"Program ini diwujudkan asalnya adalah untuk bumiputera sahaja," kata Amin.