PAS tidak pernah menyatakan persetujuan mereka untuk menerima pencalonan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sumber dalaman PAS memberitahu Astro AWANI, nama Azmin dari awal ditolak oleh pimpinan PAS bila isu berkaitan penggantian Menteri Besar Selangor dibincangkan.

"PAS tidak pernah bersetuju kalau Azmin nak dijadikan Menteri Besar Selangor. Setakat ini keputusan perlu tunggu 10 Ogos tapi yang pasti nama Azmin tidak ada dalam senarai.

"Memang ada 'group' dalam PAS yang mahu Khalid ditukar dan ada group yang nak Khalid kekal tapi dua-dua group ni kalau nama Azmin memang mereka tolak," kata sumber PAS itu kepada Astro AWANI.

Sumber dalam PAS itu berkata, sikap parti Islam itu terhadap Azmin sudah lama diketahui dan Timbalan Presiden PKR itu sendiri mengetahui beliau sukar mendapat sokongan PAS.

Sementera itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menafikan laporan yang mengatakan partinya akan menamakan Azmin sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Saifuddin berkata PKR PKR tidak ada calon lain menggantikan Abdul Khalid kecuali presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Khabar angin itu lemah, keputusan yang kita capai masih mengekalkan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR.

"Mesyuarat semalam dihadiri presiden dan timbalan. Semuanya sudah dipersetujui. Keputusan yang dicapai adalah kekal seperti yang diputuskan pada mesyuarat lalu," Saifuddin dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.

Saifuddin berkata, PKR dalam proses menerangkan kepada pimpinan Pakatan Rakyat (PR) khususnya DAP dan PAS mengenai keputusan menyingkirkan Khalid.