LONDON: Kerajaan memahami akan risiko yang berkemungkinan timbul susulan kelantangan negara menyuarakan bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza.

Namun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan sama sekali tidak akan berganjak daripada pendirian tersebut, dan akan terus menyuarakan pandangan di pelbagai platform, biarpun ia akan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan negara-negara Barat.

“Kita tidak harus khuatir, kerana kita punyai nilai tersendiri dalam perkara ini, dan kita tahu selama 75 tahun Palestin telah ditekan, dan kita tahu mengikut kronologi bagaimana penjajahan neo-colonialism dilakukan dulu oleh kuasa-kuasa besar, dan diteruskan sekarang dan nafikan hak rakyat Palestin.

“Soal risiko dan sekatan ekonomi (dari kuasa-kuasa besar dunia) adalah satu perkara yang kita (cuba) elakkan.

"Namun jika berlaku, kita akan tangani dengan kaedah yang akan kita lakukan kelak,” tegasnya lagi.


Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri Majlis Makan Malam Timbalan Perdana Menteri bersama Diaspora Malaysia, di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, di sini, pada Khamis.

Ahmad Zahid kini berada di London bagi tujuan lawatan kerja, selain memyempurnakan World Halal Business Conference Circuit 2023, anjuran bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta Halal Development Corporation (HDC) yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Oktober.

Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mendakwa, beberapa Ahli Parlimen United Kingdom telah mencadangkan dikenakan sekatan ke atas Malaysia susulan pendirian berhubung isu Palestin.

Selain itu, Anwar berkata, beliau juga telah menerima ugutan dari beberapa negara Barat, selepas beliau mengkritik serangan Israel, yang hingga kini telah mengakibatkan lebih daripada 7,000 kematian rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ugutan berupa sekatan ke atas Malaysia adalah sesuatu yang tidak perlu, kerana apa yang dinyatakan Perdana Menteri merupakan pendirian rasmi yang mewakili seluruh Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia.

"Ini adalah pendirian rasmi Malaysia sebagai negara berdaulat, yang harus dihormati biarpun pendirian serta pandangan kita berbeza daripada negara yang tidak bersetuju dengan pendirian.

"Kita juga lihat bahawa suara lantang Perdana Menteri adalah suara lantang bukan hanya masyarakat Islam, tetapi juga masyarakat pelbagai agama kerana kita mengutamakan nilai kesejagatan di dalam pendirian rasmi kita," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya kepada Diaspora Malaysia berkata, beliau mahu melihat seluruh rakyat Malaysia, di mana jua mereka berada untuk terus berpendirian tegas dalam memastikan hak asasi dan keselamatan rakyat Palestin terus terjamin.