KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menyampaikan perutusan khas berhubung isu Palestin hari ini.

Perutusan yang dijadual jam 4 petang itu akan disiarkan secara langsung di saluran 501, Astro AWANI serta di semua saluran media sosial Astro AWANI.

Situasi di Palestin terutama di Gaza semakin meruncing selepas rejim Zionis berterusan mengebom Gaza, sekali gus menyebabkan kematian termasuk kanak-kanak dan wanita di kem pelarian.

 
Sumber Facebook ts.muhyiddin


Agensi antarabangsa melaporkan, sehingga pagi Sabtu, sekurang-kurangnya 137 rakyat Palestin termasuk 36 kanak-kanak terbunuh dengan 920 lagi cedera sejak jenayah perang itu bermula pada Isnin lalu.

Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa gencatan senjata segera dikuatkuasakan di Gaza dan Israel.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, peningkatan ketenteraan yang berterusan menyebabkan penderitaan dan kemusnahan pada skala lebih besar.