PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin berkata isu parti dan politik tidak mengganggu tumpuan beliau dalam urusan mentadbir negara.

"Tidak, ia tidak mengganggu saya. Saya mempunyai kerja tersendiri dalam parti dan kerajaan. Anggota parti bebas menyuarakan pendapat masing-masing dan itu tidak mengalih tumpuan saya.

"Jika tumpuan saya terganggu, pastinya kita tidak akan capai pertumbuhan KDNK 8.9 peratus pada suku kedua, kita tidak akan lihat angka pengangguran menyusut daripada 4.3 kepada 3.8 peratus, dan angka nilai dagang tidak akan melepasi RM2 trilion," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian apabila ditanya sama ada pentadbirannya tidak dapat menumpukan perhatian dalam tugasan harian dan mungkin terlepas pandang cabaran yang menunggu seperti kegawatan ekonomi yang diramalkan tahun depan kerana pelbagai isu yang melibatkan parti dan kerajaan.

Beliau juga ditanya sama ada beliau merasa ditekan berikutan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh anggota partinya UMNO, termasuk presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu pilihan raya diadakan secepat mungkin.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Mesyuarat Tergempar: Pertemuan pemimpin utama UMNO di Seri Perdana berakhir selepas sejam

Ismail Sabri berkata setiap anggota parti (UMNO) berhak menyuarakan pendapat masing-masing, termasuk presiden.

"Semua orang membuat kenyataan dan parti kami meraikan kepelbagaian," katanya semasa sesi soal jawab bersama beberapa pewarta asing dan Bernama di sini.

"Saya hormati pandangan presiden parti, timbalan presiden, naib presiden serta pemimpin-pemimpin lain parti. Bagaimanapun, keputusan akhir akan dibuat oleh lima pemimpin tertinggi parti," katanya.

Apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding bagi jawatan presiden parti memandangkan amalan UMNO adalah pemimpin tertinggi parti yang menjadi perdana menteri, Ismail Sabri menjawab tumpuan beliau sekarang adalah untuk membantu parti memenangi pilihan raya.

"Jika parti tewas, tiada gunanya bertanding dalam apa-apa jawatan. Saya akan fikirkannya apabila tiba masanya," kata beliau.

Ismail Sabri juga menunjukkan bahawa di negara-negara lain presiden atau perdana menteri tidak semestinya ketua parti seperti yang dapat dilihat di Indonesia, di mana Joko Widodo hanya anggota biasa Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan dan presidennya ialah Megawati. Begitu juga dengan Perdana Menteri India Narendra Modi.

"Situasi ini bukan luar biasa di negara-negara lain. Mungkin ia nampak ganjil di Malaysia kerana ia kali pertama berlaku.

"Bagi saya, saya perdana menteri, saya naib presiden parti dan walaupun saya bukan presiden parti saya tetap mahu lihat parti menang dan membentuk kerajaan."

Sementara itu, mengenai sama ada skandal rasuah besar yang terus berlaku boleh menjejaskan imej negara, beliau berkata, "benar masalah rasuah itu boleh menjejaskan imej negara jika ia berlaku berterusan. Ia juga akan menghalang pelabur asing melabur di negara ini".

"Apa yang penting adalah tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah ini. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan. Jika anda perhatikan kes-kes rasuah yang dibawa ke mahkamah, tiada siapapun terlepas tidak kira kedudukan mereka".

Juga, prosedur membabitkan pemerolehan terus diperketatkan untuk menghalang gejala itu daripada terus menular, katanya.

Selagi kerajaan komited dalam bertindak terhadap gejala rasuah, negara-negara lain serta pelabur akan terus berasa yakin dengan Malaysia.

Selepas skandal 1MDB yang menyaksikan kerugian hampir RM50 billion, Malaysia sekali lagi dihantui skandal rasuah mega kali ini membabitkan pembelian kapal pesisir pantai (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia yang menyebabkan kerugian yang dianggarkan sehingga RM9 billion.

-- BERNAMA