PUTRAJAYA: Kesulitan dialami pemegang Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun ketika melakukan perjalanan ke luar negara, berpunca daripada sistem yang digunakan sesetengah syarikat penerbangan dan bukannya sistem kawalan imigresen negara asing.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata dari segi kawalan sempadan dan piawaian International Civil Aviation Organisation (ICAO), tempoh sah laku pasport melebihi 10 tahun tidak menimbulkan masalah.
“Dia bukan negara, dia airlines (syarikat penerbangan). Sistem imigresen mana-mana negara pun tidak ada masalah dari segi tempoh, kerana mereka akan memasukkan tempoh sah laku pasport itu sahaja.
“Dari segi ICAO, aviation standard (piawaian penerbangan), tidak ada isu... tetapi airlines yang ada masalah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Zakaria berkata isu berkenaan antaranya melibatkan sistem digunakan syarikat penerbangan, yang menetapkan tempoh maksimum pasport pada 10 tahun.
Sehubungan dengan itu, Zakaria berkata Malaysia akan membawa perkara berkenaan kepada ICAO untuk penyelarasan dengan syarikat penerbangan, namun tiada tempoh masa dapat ditetapkan bagi penyelesaiannya, kerana perkara itu di luar bidang kuasa JIM.
Beliau menjelaskan JIM masih mengeluarkan PMA dengan tempoh sah laku 10 tahun dan hanya menghentikan pemberian baki tempoh sah laku tambahan yang menyebabkan tempoh keseluruhan pasport melebihi 10 tahun.
Zakaria berkata sebelum ini, pemohon yang memperbaharui pasport lebih awal boleh menerima tambahan sehingga enam bulan daripada baki tempoh sah laku pasport lama, sekali gus menyebabkan pasport baharu mempunyai tempoh sah laku sehingga 10 tahun enam bulan.
“Selepas ini, dia renew (memperbaharui) awal, dia tidak dapat extra (tambahan) lagi. Dia (dapat) 10 tahun sahaja. Dia akan berhenti setakat 10 tahun,” katanya.
Zakaria berkata pemegang pasport sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun, boleh mendapatkan penggantian pasport baharu secara percuma.
Beliau berkata JIM juga akan mengeluarkan notis kepada semua syarikat penerbangan, bagi memudahkan urusan rakyat Malaysia yang sedang melakukan perjalanan di luar negara.
Mengenai jumlah pemegang PMA 10 tahun sejak ia diperkenalkan pada 1 Julai lepas, Zakaria berkata kira-kira 38,000 pasport telah dikeluarkan setakat ini, dengan 26,000 pasport melebihi 10 tahun.
-- BERNAMA