Isu pembinaan eskalator di Batu Caves selesai menjelang Julai - Pengerusi kuil

Nadarajah berkata pihak Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam tidak menentang kerajaan negeri dan menyifatkan perkara tersebut sebagai isu teknikal dan bukannya kontroversi. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Isu pembinaan eskalator di Batu Caves dijangka selesai menjelang Julai ini, sekali gus membuka laluan untuk projek itu diteruskan, kata Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Tan Sri R. Nadarajah.
Nadarajah, yang menyelia sambutan Thaipusam di Batu Caves, berkata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memberikan jaminan bahawa halangan yang ada kini hanyalah bersifat teknikal dan akan diselesaikan dalam masa beberapa bulan.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Batu Caves hari ini, dan Anwar sendiri mengadakan pertemuan dengannya dan Amirudin.
"Perdana Menteri memanggil saya dan Menteri Besar dan mengatakan bahawa isu ini mesti diselesaikan. Beliau (Anwar) berkata isu ini berkaitan komuniti dan seharusnya tidak berpanjangan," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Anwar pada lawatan itu.
Nadarajah berkata jaminan yang diberi untuk menyelesaikan isu itu menjelang Julai telah menyelesaikan halangan terakhir bagi projek eskalator berkenaan.
"Sebelum Julai, isu ini akan berakhir, jadi projek eskalator akan diteruskan. Tidak akan ada masalah," katanya dan menambah pihak pengurusan kuil dan penganut kini boleh menarik nafas lega.
Cadangan pembinaan eskalator itu sebelum ini mengundang pertikaian selepas Kerajaan Negeri Selangor menolak Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi kegunaan komersial di kawasan itu termasuk projek eskalator. Keputusan itu menyebabkan kelewatan dan perbezaan pandangan dalam kalangan pihak berkepentingan.
Bagaimanapun, Nadarajah berkata kuil itu tidak menentang kerajaan negeri dan menyifatkan perkara tersebut sebagai isu teknikal dan bukannya kontroversi.
"Perkara ini berkaitan teknikal, bukan isu besar, tetapi orang ramai menjadikannya isu yang besar," katanya dan menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana perkara itu telah selesai.
Beliau berkata kuil itu beroperasi di bawah perintah mahkamah, yang telah merumitkan keperluan pentadbiran tertentu.
"Perdana Menteri memahami bahawa kuil ini berada di bawah perintah mahkamah dan beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar. Mereka bersetuju perkara ini diselesaikan," katanya.
Nadarajah turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Anwar terhadap komuniti India dan kuil Batu Caves, sambil menyatakan bahawa Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta untuk tujuan pembangunan, baru-baru ini.
"Sebagai pengerusi, saya sangat gembira. Apa-apa sahaja yang Perdana Menteri katakan, kami akan patuhi," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


