Skip to main content

Malaysia

Isu pencemaran perlu diambil kira dalam usaha cegah kanser - Sultan Nazrin

IPOH, 26 Jun - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah pada Majlis Pelancaran Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di ZAPAR hari ini. - fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sultan Nazrin bertitah ketika merasmikan Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia 2026 di Bandar Sunway hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menegaskan terdapat keperluan mendesak untuk menangani isu pencemaran alam sekitar dan kaitannya dengan kadar penyakit kanser, sambil mengingatkan bahawa perkembangan industri tidak seharusnya mengatasi langkah perlindungan yang bertujuan menjaga kesihatan awam.

Baginda bertitah usaha pencegahan kanser tidak lagi boleh hanya tertumpu kepada tabiat merokok dan gaya hidup sebaliknya perlu turut mengambil kira secara serius isu pelepasan sisa sektor industri, asap ekzos kenderaan serta pencemaran air.

Sultan Nazrin bertitah pencemaran telah dikaitkan dengan beberapa jenis kanser termasuk leukemia dalam kalangan kanak-kanak serta kanser paru-paru, pundi kencing dan payudara dalam kalangan orang dewasa yang terdedah kepada bahan pencemar untuk tempoh yang panjang.

“Justeru, apabila berbicara mengenai pencegahan kanser, kita juga mesti secara jujur membincangkan sisa yang dilepaskan oleh kilang-kilang, apa yang kenderaan kita lepaskan di jalan-jalan raya dan apa yang kita benarkan mendap sehingga masuk ke dalam paru-paru seorang kanak-kanak yang sedang tidur,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia 2026 bertemakan “Bridging Gaps, Building Hope, Empowering Lives” anjuran bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sunway di Bandar Sunway hari ini.

Sultan Nazrin bertitah Malaysia perlu mengambil iktibar daripada kemunculan daerah yang digelar sebagai “cancer alleys” di beberapa kawasan di seluruh dunia di mana aktiviti perindustrian intensif berkembang lebih pesat berbanding langkah-langkah keselamatan bagi melindungi komuniti berhampiran.

Baginda bertitah kawasan berkenaan dikenal pasti di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Afrika Selatan dan China, selain di sepanjang Delta Niger di Afrika Barat, sambil menambah isu itu bukan sesuatu yang unik kepada mana-mana negara atau sektor industri tertentu.

“Ini bukan masalah yang hanya berlaku di sesebuah negara atau industri tertentu, dan corak sedemikian wajar dijadikan iktibar oleh kita di Malaysia, yang mempunyai koridor perindustrian serta sungai yang mengalir berhampiran kilang dan ladang, sebagai satu peringatan dan bukannya sekadar tajuk berita dari jauh,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut merujuk Zon Pelepasan Ultra Rendah (ULEZ) di London sebagai contoh bagaimana campur tangan kerajaan mampu menyaksikan penambahbaikan ketara dalam kesihatan awam, dengan mengambil maklum bahawa kajian mendapati fungsi paru-paru kanak-kanak pulih dengan ketara susulan pengurangan pelepasan sisa toksik kenderaan.

Baginda bertitah pengalaman itu membuktikan bahawa pencemaran dan penyakit tidak seharusnya dianggap sebagai kesan yang tidak dapat dielakkan daripada kehidupan moden sebaliknya risiko alam sekitar boleh dikurangkan melalui dasar yang tepat serta tindakan secara kolektif.

“Jika sebuah bandaraya sebesar London mampu memulihkan fungsi paru-paru kanak-kanaknya dalam tempoh lima tahun maka Malaysia, yang dikurniakan hutan hujan, kawasan pesisir pantai serta sektor perindustrian yang masih muda untuk dibangunkan secara bersih sejak awal, juga mampu melindungi kesihatan paru-paru dan masa depan anak-anak kita,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut memuji pencapaian saintifik tempatan khususnya Program ROSE (Removing Obstacles to Cervical Screening), yang dibangunkan oleh para penyelidik Universiti Malaya diketuai Profesor Dr Woo Yin Ling bersama-sama rakan penyelidik dari Australia, sebagai contoh inovasi Malaysia dalam usaha mencegah kanser.

Baginda bertitah pengesanan awal kanser perlu boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia, sambil menyifatkan program saringan nasional yang dapat menjangkau pekerja ladang sama mudahnya seperti golongan eksekutif syarikat sebagai “antara pelaburan terbaik” demi kesejahteraan rakyat.

Sultan Nazrin turut menegaskan bahawa usaha Malaysia menangani kanser tidak seharusnya dinilai berdasarkan statistik kelangsungan hidup semata-mata sebaliknya perlu mengambil kira aspek maruah, sokongan serta kualiti hidup yang diberikan kepada pesakit dan penjaga mereka.

Pada masa sama, Sultan Nazrin menyeru para saintis dan doktor agar terus menjalankan penyelidikan teliti yang mampu memberi manfaat kepada pesakit di seluruh negara manakala penggubal dasar perlu mengambil kira bukti serta pengalaman pesakit dalam merangka strategi kanser nasional, selain menggesa rakyat Malaysia supaya memainkan peranan lebih besar dalam usaha mencegah kanser.

Baginda juga bertitah tiada mana-mana hospital, kementerian, universiti atau kongres yang mampu menangani kanser secara bersendirian sebaliknya kerjasama amat penting dalam memperkukuh usaha memerangi penyakit berkenaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement