KUALA SELANGOR: Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung isu perbezaan amaun pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum dan selepas 1 Jan 2013.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pihaknya mengambil berat isu itu selain sentiasa mengemukakan cadangan-cadangan baharu bagi meningkatkan mutu kehidupan anggota tentera.

"Kita telah mengadakan beberapa kali mesyuarat dan kemukakan cadangan, cuma kita harus ada perbincangan (lebih teliti antara) pihak kita dengan pihak JPA," katanya kepada pemberita pada program Sembang Santai Persatuan Veteran Selangor bersama Timbalan Menteri Pertahanan, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga akan melihat bantuan lain yang sesuai untuk disalurkan kepada mereka yang berpencen selepas 2013.

"Kita akan lihat aspek-aspek itu kerana yang paling penting adalah bagi yang berpencen (selepas) 2013 ini, (jika memerlukan) bantuan sara hidup pun boleh kita salurkan.

"Kalau mereka benar-benar dalam kumpulan sasar dan mereka telah terima sebahagian pendapatan, kalau tidak cukup kita tambah dengan bantuan sara hidup," katanya.

-- BERNAMA