KUALA LUMPUR: Meskipun KK Mart di Sunway, Selangor sudah menarik balik kesemua stoking yang tertera kalimah Allah, namun Kementerian Dalam Negeri menegaskan siasatan terhadap kedai serbaneka itu akan tetap diteruskan.

Timbalan Menteri dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah memberitahu, setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 36 laporan berhubung stoking itu, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Katanya, siasatan  pada ketika ini tertumpu kepada vendor atau pengedar produk berkenaan ke pasaran.

"Walaupun KK Mart dan vendor sudah minta maaf, kita akan terus siasat kerana hal ini mencetuskan kegemparan dan kegusaran awam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai tindakan kementerian berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di premis KK Mart Bandar Sunway.

Shamsul Anuar berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Shamsul Anuar pada masa sama mengesahkan pemeriksaan kementerian mendapati tiada lagi penjualan stoking berkenaan di semua premis KK Mart di seluruh negara.

Menjawab soalan asal Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai pemantauan terhadap bahan penerbitan supaya bebas unsur lucah, tidak bermoral dan boleh merosakkan akidah umat Islam, beliau berkata setakat 2023, sejumlah 5,516 tajuk penerbitan telah dikenakan tindakan supaya tidak berada dalam masyarakat di negara ini.

"Kawal selia mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, tindakan penguatkuasaan bukan sahaja merujuk kepada aktiviti penjualan dan pengimportan, tetapi turut diambil terhadap penerbit, pencetak, pengedar termasuk pemilik mana-mana penerbitan yang menyalahi akta.

"Antara tindakan penguatkuasaan yang diambil jika terdapat kesalahan berkaitan kemoralan ialah penyitaan atau penahanan, siasatan dan pendakwaan kepada pesalah. Bahan penerbitan, buku atau bahan bacaan yang tidak bermoral terbabit akan dikenakan tindakan seperti Perintah Larangan, Tahan Penghantarserahan dan Tolak Pengimportan," katanya.