KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini siang tadi.

Beliau yang tiba kira-kira jam 12.30 tengah hari dipercayai memberi keterangan berhubung ciapannya di Twitter berkaitan tindakan bekas pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang tidak memakai pelitup muka ketika sidang akhbar.

Syed Saddiq yang juga Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkata, pihaknya telah memberi kerjasama penuh sepanjang proses rakaman percakapan tersebut.

“Rakan-rakan media mempersoalkan YB Tajuddin apabila dia memakai face shield tanpa face mask kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diterbitkan pada bulan Disember berkata tidak cukup hanya memakai face shield, kena pakai face mask.

BACA: COVID-19: Polis buka kertas siasatan dakwaan Tajuddin tidak pakai pelitup muka

“Dan rakaman percakapan sebentar tadi yang memakan masa sejam setengah hingga dua jam berkait rapat dengan isu tersebut. Saya telah pun memberikan bantuan penuh kepada pihak polis dan rakaman percakapan mengenai isu tersebut dan tindakan lanjut biar polis mengambil tindakan sewajarnya.

“Alhamdulillah, kali ini saya masuk ada fon, keluar pun ada fon. Bila telefon lama akan dipulangkan, itu saya tidak pasti… soalan tersebut (akan) dijawab oleh pihak polis. Tapi hari ini alhamdulillah,” katanya selepas memberi keterangan di IPD Dang Wangi.

Bagaimanapun, katanya tindakan lanjut akan diserahkan kepada pihak polis untuk menentukan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kehadiran Syed Saddiq untuk dirakam percakapan.

Terdahulu, tular di Twitter sejak Selasa lalu yang memaparkan ciapan Syed Saddiq berhubung isu berkenaan.