KUANTAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang menjelaskan pemberian vaksin kepada pekerja industri perhotelan dibuat atas beberapa faktor termasuk kluster melibatkan Genting Highlands selain pertambahan jumlah vaksin yang diterima negeri itu.

Jawatankuasa itu menerusi kenyataan hari ini memaklumkan antara faktor penting diambil kira ialah kluster Jalan Genting yang berlangsung selama dua bulan dan melibatkan 563 orang serta keperluan menjadikan hotel sebagai tempat kuarantin.

"Pemberian vaksin kepada 3,036 orang daripada sektor perhotelan termasuk tukang kemas (housekeepers), pencuci dan penyelenggaraan adalah melibatkan enam daerah di Pahang dan bukan hanya daripada pekerja Genting Group.

"Ia juga sebagai usaha menggerakkan sektor ekonomi dan sektor sokongan negeri iaitu pelancongan dan pengangkutan," menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak menegaskan inisiatif itu juga hanya dibuat selepas 32,156 petugas barisan hadapan kesihatan dan perkhidmatan penting yang disasarkan sebagai penerima vaksin fasa pertama oleh kerajaan Persekutuan selesai menerima vaksin mereka.

Katanya, Pahang kemudiannya menerima 5,319 dos tambahan dalam fasa pertama yang disasarkan kepada petugas barisan hadapan selain Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk guru komobid dan sebagainya, dengan 3,820 orang guru telah menerima vaksin itu dalam dua fasa berbeza.

Jawatankuasa berkenaan memaklumkan sebanyak 5,600 dos tambahan vaksin Sinovac pula diterima untuk penerima daripada sektor pengangkutan, pihak berkuasa tempatan (PBT), perkhidmatan sokongan klinik (PSK) dan perkhidmatan sokongan hospital (PSH).

Menurut jawatankuasa itu, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Kebangsaan telah menggariskan vaksin Sinovac tidak sesuai untuk diberikan kepada golongan komobid.

Usaha mendapatkan penerima bagi vaksin Sinovac itu telah dimulakan sejak awal Mac lepas dengan seramai 540 orang kategori PSH menerima temu janji vaksin berkenaan selain PSK (104 orang), sektor pengangkutan (1,726 orang), PBT (102 orang) dan perhotelan (3,036 orang).

"Jumlah agihan perancangan asal (untuk sektor perhotelan) ialah 1,575 dos sahaja, namun disebabkan kurang sambutan daripada penerima sektor pengangkutan yang layak walaupun pelbagai usaha dilakukan menyebabkan jumlah penerima sektor perhotelan dinaikkan kepada 3,036 orang," menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa itu juga menegaskan bahawa CITF negeri yang tertakluk kepada CITF Persekutuan komited dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan akan memastikan golongan sepatutnya menerima bekalan seperti digariskan.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan tular di media sosial yang menyatakan sejumlah pekerja syarikat Genting Group menerima vaksinasi COVID-19 atas arahan beliau.

Khairy berkata CITF negeri telah membuat keputusan untuk memberikan vaksin kepada pekerja di sektor pelancongan dan CITF Persekutuan hanya mengetahui tentang keputusan tersebut selepas proses vaksinasi kumpulan berkenaan bermula.

-- BERNAMA