Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok ekoran penyiaran video kontroversi Tahun Baru Cina Onederful Malaysia.

Ahli Parlimen Seputeh yang diwakili peguam Sankara Nair itu akan didakwa dibawah Akta Hasutan kerana penglibatannya dalam video kontroversi itu.

Bekas exco kerajaan Selangor itu mendapat kritikan hebat ekoran penyiaran video itu yang dikatakan menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam klip video berdurasi hampir 12 minit itu, Kok berlakon sebagai pengacara yang menemu ramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baharu Cina baru-baru ini dengan mereka telah mengeluarkan kenyataan menyindir, antaranya mengenai pemimpin negara, sistem pendidikan dan isu keselamatan di Sabah.

Teresa dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI ketika kontroversi klip video itu meletus menjelaskan ia hanyalah satu video sindiran jenaka.