KUALA LUMPUR: Isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin telah memfailkan permohonan bagi merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menerusi notis usul yang difailkan Khamis lepas di bawah Seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid memohon Mahkamah Sesyen memberikan suatu perintah untuk merujuk soalan mengenai kesan peruntukan Perlembagaan Persekutuan kepada Mahkamah Tinggi.

Persoalan itu ialah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta SPRM 2009 melanggar hak seseorang untuk dilindungi daripada membabitkan diri dengan suatu kesalahan serta hak untuk tidak dipaksa memberikan keterangan dalam suatu kesalahan dan yang akan digunakan dalam prosiding terhadapnya serta atau hak untuk suatu perbicaraan adil.

Beliau juga memohon mahkamah menentukan sama ada ia melanggar Perkara 5 (kebebasan diri) serta Perkara 8 (perlindungan sama rata di sisi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya menjadikannya tidak berperlembagaan serta terbatal.

Na'imah turut memohon supaya prosiding di Mahkamah Sesyen berhubung pertuduhan terhadap beliau ditangguhkan sehingga permohonan itu didengar dan diputuskan serta perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 23 Jan lepas, Na'imah, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham serta beberapa hartanah sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan, Na'imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 Nov 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 Nov 2023 iaitu tidak mengisytiharkan harta.

Harta terbabit ialah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail di sini.

Na'imah didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 13 Dis 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA