PUTRAJAYA: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) hari ini membuat laporan polis terhadap aktivis Albert Tei susulan dakwaan mengganggu operasi di Kementerian Komunikasi menerusi beberapa siri perhimpunan sejak bulan lepas.
Ketua Pengarah J-KOM Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata laporan itu dibuat selepas individu terbabit didakwa beberapa kali berhimpun di hadapan bangunan kementerian sehingga menjejaskan kelancaran penjawat awam menjalankan tugas.
"Laporan polis itu telah dibuat memandangkan beliau sudah empat kali berhimpun di depan Menara Komunikasi. Tindakan berhimpun di situ (memberi) signal yang tidak baik, terutamanya mengganggu-gugat beribu penjawat awam yang bekerja ...", katanya kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya, di sini hari ini.
Beliau berkata laporan polis itu dibuat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 504 Kanun Keseksaan berhubung tindakan provokasi serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 atas dakwaan menghina penjawat awam.
Selain itu, beliau berkata J-KOM juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini berhubung dakwaan penyalahgunaan rangkaian komunikasi bagi tujuan gangguan dan provokasi.
Beliau berkata laporan berkenaan akan melibatkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk tujuan mengganggu dan mencetuskan provokasi.
Mohd Hisyamuddin berkata tindakan itu bertujuan membolehkan siasatan dijalankan secara adil oleh pihak berkuasa.
"Kita minta pihak polis menjalankan siasatan. Jika ada kesalahan, ambil tindakan dan jika sebaliknya, biarlah siasatan menentukan," katanya.
Sebelum ini, Albert Tei bersama sekumpulan pencipta kandungan melancarkan protes dengan mengadakan bantahan duduk di kawasan lobi Kementerian Komunikasi susulan dakwaan sekatan terhadap akaun TikTok milik ahli perniagaan terbabit.
Kumpulan berkenaan mendakwa sekatan dibuat secara tidak adil dan menuntut penjelasan berhubung tindakan dikenakan terhadap akaun media sosial itu.
Mengulas dakwaan sekatan terhadap akaun milik Albert Tei, Mohd Hisyamuddin berkata setiap platform mempunyai garis panduan dan prosedur tersendiri yang perlu dipatuhi pengguna.
"Kalau di situ dah tak lepas, jangan terus salahkan pihak kementerian atau MCMC, kena siasat dahulu," katanya.
-- BERNAMA