LAHAD DATU: Seekor anak gajah yang dijumpai sendirian di ladang Felda Sahabat 9 Baiduri Ayu berjaya diselamatkan Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL).

Pegawai JHL Lahad Datu Silvester Saimin berkata, gajah berkenaan, yang dipercayai dipinggirkan kawanannya, dijumpai pekerja ladang berkenaan pada 15 Jun lalu.

"Susulan laporan, sepasukan kakitangan JHL Lahad Datu telah ke lokasi berkenaan dan membuat pemantauan.

"Pasukan juga berusaha menyatukan kembali anak gajah berkenaan dengan kawanannya.

"Malangnya, kawanan tersebut tidak mahu menerima anak gajah itu dan kita telah memanggil WRU untuk menyelamatkannya.

"Selepas diselamatkan, WRU telah berjaya mendekati serta mengawal anak gajah itu.

"Veterinar dan renjer WRU bersama kakitangan JHL serta pekerja ladang telah memeriksa gajah berkenaan dan mendapati ia adalah gajah jantan yang berusia dalam anggaran setahun atau kurang,” katanya.

Menurut Silvester, anak gajah yang dinamakan sebagai Yuri, singkatan daripada Baiduri (sempena nama lokasi ia ditemui) kemudian diberi susu namun ia menolak.

Bagaimanapun, Yuri meminum air melalui belalainya dan memakan makanan pejal seperti batang pisang.

Pemeriksaan fizikal mendapati Yuri mengalami kecederaan ringan di bahagian kulit depan kiri dan kepala namun tetap responsif.

Tambahnya, Yuri telah dibawa ke Pusat Rehabilisasi Orang Utan Sepilok untuk penjagaan dan pemantauan  selanjutnya.