MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka tidak pernah menganjurkan sebarang kutipan wang dari premis ke premis perniagaan oleh mana-mana kakitangan jabatan itu bagi tujuan membiayai buletin persatuan.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata sebaliknya kutipan hanya dilakukan ke atas perkhidmatan kesihatan yang diberikan di fasiliti kesihatan sedia ada.

"Jabatan Kesihatan Negeri Melaka telah menerima aduan awam pada Jumaat (3 Mac) berkenaan terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengaku sebagai kakitangan kesihatan telah datang ke premis-premis perniagaan dan membuat kutipan wang bagi tujuan membiayai buletin persatuan.

"Hasil siasatan oleh pihak jabatan mendapati bahawa persatuan tersebut tidak tersenarai di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan dan laporan polis telah dibuat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta orang ramai lebih berhati-hati dan segera membuat laporan polis sekiranya menerima sebarang unsur ugutan atau paksaan daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali meminta membayar sejumlah wang terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

Katanya orang ramai boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di talian 06-235 6999 sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau aduan berhubung perkara itu.

-- BERNAMA