SEPANG: Jabatan Laut Malaysia (JLM) menubuhkan pasukan khas dengan serta-merta bagi menyelaras tuntutan gaji tertunggak dan kebajikan 13 kru kapal MV Berkat Tuah yang berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas terkandas di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak September 2025.
Ketua Pengarah Laut Datuk Dickson Dollah berkata langkah segera itu diambil sebaik semua kru dibawa pulang dengan fokus utama memastikan hak mereka termasuk gaji tertunggak diperoleh daripada syarikat yang mengendalikan kapal berkenaan.
"Kita telah mewujudkan satu pasukan khas dan sebaik sahaja berjaya membawa pulang kru MV Berkat Tuah, kita akan terus berhubung dengan pihak syarikat untuk melaksanakan tuntutan dengan segera.
"Apa yang boleh kita lakukan buat sementara ialah mendahulukan sebahagian pembayaran gaji tertunggak mereka, manakala bakinya akan dituntut daripada pihak syarikat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bersama lima kru, yang merupakan kumpulan terakhir daripada kapal MV Berkat Tuah, di sini hari ini.
Dickson berkata enam bulan gaji kru terbabit masih belum dijelaskan, namun sebahagian bayaran sudah diterima sebelum itu.
Beliau berkata pembayaran pendahuluan itu akan disalurkan melalui kerjasama antara Kesatuan Kebangsaan Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM) dan Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) sebelum baki tunggakan dituntut daripada syarikat berkenaan.
Katanya syarikat tempatan yang mengendalikan kapal itu mempunyai kontrak di UAE, namun dibatalkan susulan krisis di Asia Barat sehingga menyebabkan kapal berkenaan terkandas.
Beliau berkata kes itu kini didaftarkan di peringkat antarabangsa dan berharap syarikat tersebut tidak melengah-lengahkan proses pembayaran.
Mengulas mengenai situasi semasa di rantau berkenaan, Dickson berkata kira-kira 410 kapal masih terkandas akibat konflik di Asia Barat melibatkan sekitar 6,000 pelaut dari seluruh dunia.
"Ini bukan hanya melibatkan Malaysia, ramai lagi pelaut di seluruh dunia yang masih terperangkap di sana dan menghadapi masalah yang sama," katanya.
Dickson berkata kejayaan membawa pulang kesemua kru MV Berkat Tuah merupakan misi kemanusiaan yang bukan sekadar menamatkan satu episod yang sukar dalam kehidupan pelaut, malah menjadi bukti bahawa Kerajaan Malaysia sentiasa komited untuk melindungi kebajikan, keselamatan dan maruah rakyat.
-- BERNAMA