SHAH ALAM: Suasana Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-105 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam bertambah meriah apabila penyampai BRO Pagi Gegar, Issey dan Fizie, tampil dengan kejutan istimewa untuk meraikan para graduan.
Berbeza daripada kebiasaan pemberian bunga sempena hari konvokesyen, kedua-dua penyampai itu memilih untuk menghadiahkan nasi kerabu kepada graduan sebagai simbol penghargaan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian.
Pengurus Jenama THR Gegar, Azah Sahrin berkata inisiatif tersebut merupakan usaha untuk berkongsi kegembiraan bersama graduan melalui pendekatan yang dekat dengan identiti dan budaya pendengar stesen radio itu.
"Pada hari yang cukup bermakna ini, kami mahu melakukan sesuatu yang berbeza. Nasi kerabu bukan sahaja makanan yang terkenal dan digemari ramai, malah ia turut melambangkan identiti Pantai Timur yang begitu dekat dengan THR Gegar serta para pendengarnya."
"Kami berharap kejutan kecil ini dapat menambah kemanisan kenangan para graduan pada hari konvokesyen mereka," katanya.
Kehadiran Issey dan Fizie turut mencuri perhatian apabila mereka mengambil peluang untuk beramah mesra, bergambar dan mengucapkan tahniah kepada graduan yang hadir bersama ahli keluarga masing-masing.
Inisiatif itu dilihat sebagai penghargaan kepada para graduan yang telah bertungkus-lumus mengharungi pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengajian sebelum berjaya menamatkan pengajian.
Selain meraikan graduan UiTM, kedua-dua penyampai turut berkongsi kegembiraan bersama dua warga THR Gegar yang menerima skrol pada istiadat konvokesyen tersebut iaitu Produser BRO Pagi Gegar, Mek Nab, dan Penyelia Muzik THR Gegar, Ain.
Kejayaan mereka melengkapkan sambutan yang lebih bermakna serta mencerminkan komitmen warga THR Gegar terhadap pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan diri.