PUTRAJAYA: Jabatan Pertanian telah diberi kepercayaan memilih spesies pokok bagi upacara menanam pokok bersempena dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja sejak 2019 dan Lawatan Rasmi Ketua-ketua Negara ke Malaysia pada tahun lepas di pekarangan Istana Negara.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi berkata, lapan pokok yang telah ditanam pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ialah pokok merbau, cempaka kuning, rajah kayu, ceri Terengganu, keriang, pokok buah ajaib, sepang dan pokok mentega, dan lima bagi lawatan negara iaitu pokok melinjau, gelam, simpor, nona, dan keranji.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nor Sam berkata, upacara penanaman pokok merupakan cetusan idea Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan lepas, yang berkenan supaya ia dilakukan bersempena dengan upacara rasmi negara yang diadakan di Istana Negara.

"Kriteria utama dalam pemilihan spesies pokok bagi upacara ini adalah ia mesti mempunyai signifikan dengan negeri Raja Melayu yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja atau negara asal Ketua Negara yang diberi sambutan negara.

"Jika tiada yang bersesuaian, Jabatan Pertanian akan mencadangkan spesies pokok daripada kategori tanaman nadir yang ada di Malaysia yang mempunyai fungsi etnobotani menarik," katanya.

Selain itu, beliau berkata, jabatan berkenaan juga melaksanakan pemantauan agronomi pokok-pokok yang telah ditanam di pekarangan Istana Negara secara berterusan termasuk aspek pembajaan, sistem pengairan, kawalan penyakit dan perosak.

Nor Sam berkata, Jabatan Pertanian akan menyediakan pokok yang dipilih untuk dihantar ke Istana Negara dan membuat persiapan tapak penanaman setelah mendapat perkenan oleh Al-Sultan Abdullah.

Menurut beliau, semasa upacara penanaman pokok disempurnakan, Al-Sultan Abdullah turut bersama-sama menanam pokok yang telah dipilih oleh Seri Paduka sendiri.

"Upacara ini merupakan cetusan idea baginda sendiri dan tidak pernah dilakukan sebelum pelantikan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16," katanya dan menambah penanaman pokok bersempena dengan lawatan negara juga sebagai tanda simbolik hubungan erat dua hala Malaysia dengan negara berkenaan.

Sepanjang pemerintahan Seri Paduka, tetamu negara yang menyempurnakan upacara penanaman pokok bersama Al-Sultan Abdullah ialah Presiden Singapura, Halimah Yacob; Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Gabenor Jeneral New Zealand, Dame Cindy Kiro dan Putera Monaco, Putera Albert II, kata Nor Sam.

Sebagai simbolik tamat tempoh pemerintahan, Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan menanam pokok rambutan gula batu dan rambutan gading di Istana Negara.
- BERNAMA