NATIONAL
JAIM tarik sijil halal dua hotel lima bintang anjur parti arak

Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan itu diambil selepas serbuan mendapati peralatan dapur yang dipersijilkan halal turut digunakan dalam majlis melibatkan alkohol tersebut. - Gambar fail
MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bertindak tegas menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dua hotel lima bintang di Banda Hilir selepas didapati menganjurkan ‘parti arak’ dua minggu lalu.
Ringkasan AI
- JAIM menarik balik sijil halal dua hotel lima bintang di Banda Hilir selepas didapati menganjurkan majlis melibatkan alkohol dan menggunakan peralatan dapur halal dalam acara tersebut.
- Tindakan ini diambil mengikut peraturan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2020, dan hotel terbabit boleh memohon semula sijil halal dalam tempoh tiga bulan jika mematuhi syarat.
- JAIM akan terus memantau 30 hotel di Melaka yang memiliki sijil halal bagi memastikan tiada penyalahgunaan dan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap premis bersijil halal.
“Tindakan ini diambil mengikut Klausa 32(3)(a)(ii) Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia Domestik 2020 (MPPHM 2020).
“Berdasarkan aduan yang diterima, pemeriksaan dilakukan dan didapati memang pesta alkohol sedang berlangsung. Pihak hotel turut mengakui penganjuran majlis tersebut, maka kami mengambil keputusan menarik balik sijil halal yang telah dimiliki sejak lima tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Ayer Keroh pada Isnin.
Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, ketika ini terdapat 30 hotel di Melaka yang memiliki sijil halal dan JAIM akan terus menjalankan pemantauan berterusan bagi mengelakkan penyalahgunaan sijil tersebut.
Tambahnya lagi, kedua-dua hotel terbabit dibenarkan membuat permohonan semula sijil halal dalam tempoh tiga bulan tertakluk kepada pematuhan semua syarat yang ditetapkan.
“Jika kita berpuas hati, sijil halal boleh diberikan semula. Diharapkan tindakan tegas seperti ini akan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk mengunjungi premis yang memiliki sijil halal di Melaka,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami