SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengemukakan kertas cadangan bagi menaikkan elaun Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan pada Mei ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata cadangan itu selaras dengan peningkatan kos sara hidup semasa dan mengambil kira beban tugas guru KAFA.
Advertisement
"Waktu bertugas guru KAFA kira-kira lima jam sehari, lima hari seminggu dan lokasi bertugas pula kebiasaannya berhampiran alamat tempat tinggal mereka.
“Cadangan kenaikan ini juga bertujuan menarik minat lebih ramai permohonan dan mengekalkan guru KAFA sedia ada di sekolah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Mohammad Fahmi menjawab pertanyaan lisan Sallehen Mukhyi (PN-Sabak) tentang langkah kerajaan negeri dalam menyemak dan menaikkan elaun guru KAFA selaras peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Berhubung mekanisme kebajikan guru KAFA, beliau berkata kerajaan negeri turut menyediakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain pelbagai kemudahan cuti.
Antara kemudahan itu ialah cuti rehat khas 10 hari, cuti menjaga anak kuarantin (lima hari), cuti kematian keluarga (tiga hari) dan cuti sakit tahunan (15 hari).
“Selain itu, guru KAFA turut menikmati cuti sakit kritikal berpanjangan sehingga 180 hari, cuti bersalin 60 hari serta kemudahan cuti menunaikan umrah dan haji mengikut tempoh ditetapkan.
“Mereka juga diberi peluang dan sokongan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta mengikuti kursus peningkatan profesionalisme,” katanya.
Mohammad Fahmi berkata penambahbaikan kemudahan itu akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan kesejahteraan guru KAFA sentiasa terpelihara seiring keperluan semasa.
-- BERNAMA