Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau sebarang penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, di media sosial.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata Jakim mempunyai pegawai ditempatkan di SKMM bagi melakukan tindakan perlu sekiranya terdapat sebarang aduan daripada pengguna mengenai adanya penghinaan terhadap kesucian Islam dan Nabi Muhammad di media sosial.

"Kita bekerjasama dengan SKMM di bawah satu jawatankuasa khas yang ditubuh bagi mengkaji dan memantau sebarang aduan melibatkan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad," katanya selepas hadir pada majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran Jakim kali ke-28 di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, beberapa pihak membuat laporan polis selepas tular di media sosial mengenai seorang individu menggunakan akaun Wendy Loong menghina agama Islam dan Nabi Muhammad melalui posting dimuat naik di sebuah laman Facebook.

BACA:483 laporan polis dibuat berhubung kenyataan hina Nabi Muhammad

Sementara itu, Mohamad Nordin berkata Jakim sedia maklum berhubung perkara itu dan sebagai agensi menerima aduan daripada orang awam mengenai isu penghinaan terhadap Islam, agensi berkenaan akan terus konsisten menjadi penyalur maklumat kepada pihak berkuasa termasuk SKMM dan Polis Diraja Malaysia.

"Biasanya kita akan mengumpul maklumat daripada aduan dan salurkan kepada agensi mempunyai kuasa penyiasatan dan melakukan tindakan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Nordin berkata sebanyak RM35 juta diluluskan kerajaan untuk kerja-kerja menaik taraf Darul Quran bagi membina pusat akademi dan menambah jumlah asrama.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Darul Quran, berkata kerja-kerja menaik taraf yang akan dimulakan tahun depan, akan memberi lebih keselesaan dan menambah ruang asrama kepada pelajar pusat tahfiz berkenaan.

"Pada masa ini, 1,000 pelajar tahfiz kita sediakan kemudahan asrama, apabila ia siap kira-kira tiga tahun akan datang, 300 lagi pelajar boleh kita tempatkan di sini," katanya.

Pada istiadat konvokesyen itu, 723 graduan daripada lapan program pengajian ditawarkan di Darul Quran menerima diploma dan sijil masing-masing.

Tujuh pelajar kategori mualaf dan etnik pribumi Sabah dan Sarawak, juga buat pertama kali menerima skrol program Sijil Asas Tahfiz serta disahkan menghafaz 10 juzuk al-Quran.