Jabatan Kemajuan lslam Malaysia (JAKIM) menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat untuk membantu dalam siasatan yang melibatkan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu.

“Saya menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut supaya tampil dan membuat laporan polis bagi membolehkan kertas siasatan disediakan dan seterusnya proses pendakwaan dilakukan
oleh pihak berkuasa agama negeri,” kata ketua pengarah JAKIM Othman Mustapha.

Othman berkata susulan kenyataan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), JAKIM akan dapatkan laporan terperinci dan akan menelitinya serta membuat penyelarasan maklumat sedia ada di pihak agensi agama.

“Sebarang isu akidah yang melibatkan mana-mana individu akan dibuat siasatan rapi mengikut prosedur undang-undang, sekiranya didapati cukup bukti dan pendakwaan dibuat, kita akan serah kepada pihak mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada hari Khamis, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi mengesahkan “orang nombor dua PAS” yang didedahkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengikut fahaman Syiah adalah Timbalan Presiden parti Islam itu, Mohamad Sabu.

Abdul Rahim berkata kenyataan itu adalah berdasarkan 10 fakta dan maklumat yang dikumpul oleh KDN termasuk keterangan daripada Mohamad sendiri.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu menyifatkan ‘bukti-bukti’ yang disebutkan oleh KDN sebagai fitnah.