PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar syarat dan piawaian Pensijilan Halal Malaysia, khususnya melibatkan unsur najis mughallazah seperti babi.
Ketua Pengarahnya Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata ini termasuk tindakan menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebuah kilang kopi dan kilang biskut di Melaka yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) susulan penemuan berus mempunyai ciri bulu babi di premis berkenaan.
Advertisement
Beliau berkata syarikat terlibat telah diarahkan untuk menghentikan serta-merta penggunaan logo halal Malaysia, menarik balik semua produk yang terkesan daripada pasaran serta melaksanakan tindakan pembetulan dan penambahbaikan secara menyeluruh termasuk proses sertu mengikut hukum syarak dan garis panduan yang ditetapkan.
"Jabatan ini menghormati sepenuhnya bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri, yang bertanggungjawab dalam pengurusan pensijilan halal serta pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pemegang SPHM di peringkat negeri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata tiada sebarang kompromi atau keistimewaan akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar syarat dan piawaian Pensijilan Halal Malaysia.
"Sebarang ketidakpatuhan, khususnya yang melibatkan unsur najis mughallazah seperti babi, merupakan satu pelanggaran serius yang tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan tegas serta-merta," katanya.
Sehubungan dengan itu, Sirajuddin berkata Jakim akan terus menggembeleng kerjasama strategik bersama semua pihak berkuasa terlibat dalam memperkukuh aspek pemantauan dan penguatkuasaan.
Beliau berkata tindakan bersepadu akan terus diambil bagi memastikan integriti Pensijilan Halal Malaysia sentiasa terpelihara, kemaslahatan masyarakat dalam memperoleh makanan halal terjamin, serta sebarang ketidakpatuhan ditangani dengan tegas dan segera.
-- BERNAMA