MALAYSIA
Jalan Istana, Klang ditutup sempena majlis perkahwinan diraja

Ramli menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang notis atau maklumat yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab, sebaliknya hanya merujuk makluman rasmi dikeluarkan PDRM. - Foto Polis Klang Selatan
KLANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menutup Jalan Istana di sini kepada semua kenderaan bermula jam 7 pagi hingga 10 pagi, Khamis ini, sempena perarakan diraja bersempena Majlis Perkahwinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Alam Shah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, berkata penutupan jalan itu bagi memberi ruang persiapan serta memastikan kelancaran pergerakan perarakan yang dijadual bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz menuju ke Istana Alam Shah.
“Bagaimanapun, jalan-jalan lain di sekitar Bandaraya Diraja Klang tidak ditutup dan akan dikawal sepenuhnya pasukan polis trafik.
“Bagi daerah lain di Selangor yang tidak terbabit dengan majlis berkenaan, tiada sebarang penutupan jalan dilaksanakan dan semua aliran trafik berjalan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.Ramli turut menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang notis atau maklumat yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab, sebaliknya hanya merujuk makluman rasmi dikeluarkan PDRM.
Tengku Amir Shah akan melangsungkan pernikahan dengan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz pada Khamis depan, di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah, 22 Oktober depan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami