KUALA LUMPUR: Jalur Gemilang merupakan lambang maruah negara yang membawa mesej penting bahawa seluruh rakyat berkongsi satu identiti, tanah air dan semangat kebangsaan, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran.
Beliau berkata sehubungan dengan itu, generasi muda hari ini perlu menghayati setiap pengorbanan generasi terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air sehingga bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan buat pertama kalinya pada 26 Mei 1950 di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur.
"Kemajuan negara tidak akan membawa makna sekiranya masyarakat hidup dalam prasangka, permusuhan dan perpecahan. Perpaduan dan keharmonian merupakan asas penting kepada kesejahteraan yang ingin kita nikmati bersama.
"Kesejahteraan yang dimaksudkan bukan hanya soal kemajuan ekonomi atau pembangunan fizikal tetapi membawa makna lebih mendalam apabila rakyat dapat menjalani kehidupan dalam suasana aman, selamat, saling menghormati dan mempunyai keyakinan antara satu sama lain," katanya ketika merasmikan Program Edaran Jalur Gemilang dan Baju Patriotik bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2026 di sini hari ini.
Program tersebut merupakan inisiatif Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) dengan sokongan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN)
Sementara itu, Presiden ACCCIM Datuk Ng Yih Pyng berkata komuniti perniagaan perlu turut memainkan peranan penting dalam membina ekonomi yang kukuh sebagai asas kepada perpaduan dan kestabilan negara.
"Ekonomi yang kukuh menyediakan asas penting bagi perpaduan negara. Pada masa yang sama, masyarakat yang stabil dan bersatu padu memberi keyakinan kepada pelabur dan seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan.
"Meskipun kita bertutur dalam bahasa berbeza dan mengamalkan tradisi tersendiri, kebolehan rakyat Malaysia untuk bersatu padu dalam kepelbagaian adalah kekuatan terbesar negara yang perlu terus dipelihara," katanya.
-- BERNAMA