Skip to main content

Malaysia

Jalur Gemilang tanpa bulan bintang di Batu Buruk akibat kesilapan teknikal - Ahmad Samsuri

61702121138_TBAhmadSamsuri.jpg
Ahmad Samsuri (foto) menyifatkan insiden yang tular di media sosial itu sebagai kes terpencil dan meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi mengenainya. -Gambar fail
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Pemasangan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan dan bintang di Dataran Batu Buruk, di sini, bukan dilakukan secara sengaja, sebaliknya berpunca daripada kesilapan teknikal, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau menyifatkan insiden yang tular di media sosial itu sebagai kes terpencil dan meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi mengenainya.

“Apa-apa pun kita akan lakukan siasatan bagi memastikan perkara itu tidak berulang lagi, walau siapa jua yang memasang bendera itu termasuk orang awam dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia 2026 peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan sehelai Jalur Gemilang dikibarkan di Dataran Batu Buruk tanpa lambang bulan dan bintang, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu Lizan Che Mat ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya telah mengambil langkah segera dengan menurunkan bendera yang rosak itu dan menggantikannya dengan yang baharu pada hari kejadian.

Beliau menjelaskan bahawa Jalur Gemilang tersebut pada asalnya adalah lengkap, namun bahagian yang memaparkan lambang bulan dan bintang itu dipercayai terpisah atau tercabut akibat ditiup angin kencang.

“Selepas ini kita tidak akan jahit lagi, terus beli yang sudah siap dan sempurna bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Lizan berkata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memandang serius kejadian itu dan akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bendera dipasang berada dalam keadaan baik serta mematuhi spesifikasi ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement