BACHOK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai termasuk pempengaruh untuk tidak mengambil tindakan sendiri terhadap komuniti pelarian Myanmar, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan mengikut undang-undang.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin berkata orang ramai perlu melaporkan kejadian atau perkara yang menimbulkan kekeliruan kepada pihak berkuasa seperti polis atau Jabatan Imigresen dan tidak bertindak mengikut emosi.
“Kita ada undang-undang dan peraturan. Kalau semua orang mengambil tindakan sendiri, implikasinya selalu negatif kerana boleh dipengaruhi emosi berbanding pihak berkuasa yang berlandaskan undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya.
Noor Hisam berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS ke-22 Tahun 2026 di Universiti Malaysia Kelantan di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan provokasi atau mesej negatif tersebar di media sosial berkaitan komuniti pelarian Myanmar kerana berpotensi menjejaskan keamanan.
Beliau berkata prinsip sama juga terpakai terhadap sebarang dakwaan berkaitan kegiatan jenayah tanpa mengira etnik, bangsa atau status seseorang sebagai pendatang atau rakyat tempatan.
Berhubung dakwaan sesetengah individu mengambil tindakan sendiri kerana pihak berkuasa lambat bertindak, Noor Hisam berkata alasan itu tidak boleh dijadikan justifikasi untuk seseorang mengetepikan undang-undang.
“Tindakan oleh orang perseorangan berisiko menimbulkan implikasi lebih besar sekiranya dibuat tanpa mengambil kira peruntukan undang-undang,” katanya.
Noor Hisam seterusnya menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lokasi komuniti pelarian Myanmar yang tular di media sosial untuk menyalurkannya terus kepada polis dan bukan menyebarkan perkara itu sehingga boleh mencetuskan provokasi.
“Lebih baik laporkan kepada polis supaya tindakan susulan dapat diambil mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya.
-- BERNAMA