JAKARTA: Indonesia dan Singapura bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas bersama bagi memastikan syarikat-syarikat bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan dan tanah, termasuk melalui perkongsian risikan kewangan serta pengumpulan bukti rentas sempadan.
Persetujuan itu dicapai semasa perbincangan antara Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir dan rakan sejawatnya dari Singapura, Vivian Balakrishnan di sini pada Selasa, mesyuarat rasmi pertama mereka sejak pelantikan Arrmanatha.
Arrmanatha berkata, semasa mesyuarat itu, Singapura menawarkan untuk berkongsi data mengenai syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran berkenaan, yang disambut baik oleh Indonesia sebagai peluang bagi memperkukuh kerjasama dalam mengheret pihak yang terlibat untuk dipertanggungjawabkan.
"Indonesia komited untuk bekerjasama dengan Singapura dan pihak lain bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Asap boleh merentasi sempadan, begitu juga wang.
Oleh itu, kita perlu menjejaki aliran wang yang ditinggalkan oleh syarikat-syarikat ini," katanya pada sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala di Jakarta pada Selasa, menurut rakaman video yang diterbitkan media tempatan.
Arrmanatha turut merujuk tindakan Singapura baru-baru ini yang mengeluarkan notis langkah pencegahan kepada 10 syarikat yang berpotensi dikaitkan dengan kebakaran hutan, sambil menyatakan bahawa Indonesia sedang menjalankan siasatan nasional yang diselaraskan sendiri.
Bagi pihak Indonesia, beliau berkata, ratusan individu dan lebih 50 syarikat telah atau sedang disiasat serta didakwa berhubung kebakaran hutan dan tanah, dengan beberapa pihak telah didapati bersalah di bawah undang-undang Indonesia.
Sementara itu, Balakrishnan pada sidang media berkenaan mengesahkan persetujuan Singapura terhadap cadangan itu, sambil berkata pasukan petugas bersama berkenaan akan memastikan penyelarasan lebih rapi dan perkongsian maklumat antara kedua-dua negara bagi mencegah pelanggaran pada masa hadapan.
"Kami menjangkakan impak pencegahan daripada pasukan petugas bersama ini akan membawa perubahan," katanya.
Beliau berkata, Singapura akan menggunakan kuasa undang-undang dan kawal selianya terhadap syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu, termasuk yang didaftarkan di Indonesia.
"Kami bersedia untuk menggunakan langkah undang-undang, kawal selia dan ekonomi yang lebih meluas bagi mencegah pelanggaran undang-undang oleh syarikat pada masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA