KEMAMAN:Orang ramai yang tinggal di kawasan dilanda banjir dan pesisir pantai diingatkan supaya mengawasi anak-anak mereka bermain air banjir bagi mengelakkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

Pesanan yang sama juga ingatkan kepada pengunjung yang bertandang ke negeri ini agar tidak mengadakan 'pesta air' di lokasi bencana termasuk di kawasan pantai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Hilman Abdul Rashid berkata berdasarkan pemantauan, pihaknya mendapati masih ada segelintir kanak-kanak bermain air banjir tanpa memikirkan risiko yang mungkin dihadapi.

Justeru Md Hilman meminta ibu bapa mengawasi pergerakan anak mereka di musim banjir kerana tidak mahu kejadian lemas atau hilang dibawa arus di musim tengkujuh ini.

“Saya ingin menginatkan orang ramai sekali lagi supaya jangan jadikan musim tengkujuh sebagai pesta air kerana ia akan menyebabkan nyawa terkorban.

“Kepada orang ramai terutamanya kepada pengunjung ke Terengganu ini, jangan ambil peluang untuk bermain di tepi pantai ketika ini kerana ini bukan masanya untuk berpesta,” katanya.

Beliau berkata paras air banjir yang naik sukar diramal, malah kedudukan parit-parit dan sungai juga tidak jelas kerana ia telah melimpah dan ini mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak yang bermain air banjir.

Md hilman berkata para pengunjung khususnya yang tinggal di luar Terengganu mungkin teruja bila melihat fenomena ombak besar yang melanda sebahagian pantai di negeri ini namun ianya amat berisiko.

Sepanjang tahun lalu sebanyak 74 peratus mangsa lemas yang direkodkan di negeri terengganu melibatkan penduduk yang tinggal diluar negeri itu.

Tidak cakna dan peka dengan keadaan cuaca dan papan tanda yang dipasang di sepanjang pantai di negeri itu juga dipercayai menjadi penyumbang kepada kes berkenaan.