Kenyataan media Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berkenaan kenyataan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai pengesanan DNA babi (porcine) dalam coklat susu dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk:

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengambil maklum akan Kenyataan Media YBhg Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah; Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 24 Mei 2014 berkaitan dengan pengesanan DNA Porcine dalam dua sampel coklat Cadbury; Coklat susu dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1.

Berikutan kenyataan tersebut, Jakim telah menggantung sijil pengesahan halal bagi kedua-dua produk berkenaan berkuatkuasa SERTA MERTA. Dalam masa yang sama, siasatan lanjut akan dibuat untuk mengenalpasti punca pencemaran tersebut.

Jakim ingin menegaskan bahawa pensijilan halal Malaysia adalah melibatkan proses pengauditan dan pemeriksaan yang ketat merangkumi penilaian bahan ramuan, kaedah pemprosesan, peralatan yang digunakan, termasuklah pengujian makmal berdasarkan Standard Halal Malaysia dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Selepas sijil pengesahan halal Malaysia dikeluarkan, pemegang sijil adalah tertakluk kepada pemeriksaan berkala Jakim. Dalam hal ini, pemeriksaan secara berkala terhadap syarikat pengeluar produk berkenaan telah dibuat dan pemeriksaan terakhir adalah pada 20 Februari 2014 dan didapati mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

Kepada para pengguna yang selama ini menggunakan mana-mana produk yang mempunyai logo halal Malaysia tidak perlu bimbang kerana pemantauan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

Sekiranya terdapat sebarang perlanggaran atau ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat pensijilan, pihak Jakim akan menggantung atau menarik balik sijil pengesahan halal dengan serta merta.

DATO’ HAJI OTHMAN MUSTAPHA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

24 MEI 2014