Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong meminta mana-mana pihak agar tidak lagi mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menyatakan sokongannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya semua pihak katanya harus bersabar dan menunggu sehingga mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 24 April ini.

Ini kerana, bagi beliau, sesuatu keputusan atau kenyataan yang dikeluarkan akan menimbulkan pelbagai reaksi sehingga ia boleh disalah taksirkan pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab.

Menurut beliau lagi, Menteri Besar Kedah itu kini tersepit di antara kepimpinan tertinggi parti dan juga bapa beliau yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia yang sangat dihormati.

Beliau percaya sesiapa pun akan berdepan situasi yang sama kerana ia melibatkan dua pihak yang sama-sama dikenali dan rapat dalam parti.

“Kita orang luar tidak dapat bayangkan macam mana peritnya kalau satu keadaan dimana kita, kalau orang luar kita bolehlah minta buat keputusan cepat tetapi melibatkan bapa sendiri kalau itu berlaku kepada saya atau mana-mana individu bukan satu perkara yang mudah untuk diluahkan," katanya lagi.

Tambah Ka Siong lagi tindakan pihak terbabit yang terlalu mendesak Mukhriz bukan sebagai jalan penyelesaian yang sebenar kerana ia akan lebih memburukkan lagi keadaan apabila diputar belitkan pihak terbabit.

Bagi beliau, kontroversi yang timbul ini bukanlah satu krisis kerana Mukhriz masih mendapat sokongan ahli UMNO di seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau yakin Mukhriz mempunyai kebijaksanaan untuk melakukan yang terbaik untuk UMNO dan Barisan Nasional dengan membuat keputusan yang tepat.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar JKKK Zon Utara 2015 di Hotel Star City, Alor Setar, Kedah hari ini.

Baru-baru ini, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin meminta Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar sekiranya gagal menyokong kepimpinan perdana menteri.

Mukhriz sebelum ini berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pendirian UMNO Kedah terhadap kepimpinan Najib pada 24 April di Kuala Lumpur selepas bermesyuarat dengan kesemua pemimpin UMNO negeri itu.