CYBERJAYA: Isu pasaran haram rokok dan vape tidak harus dijadikan alasan untuk Ahli Parlimen (MP) tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok ketika ia dibentangkan di Dewan Rakyat, minggu depan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Hematogenix Malaysia iaitu makmal penyelidikan klinikal onkologi pusat pertama di Malaysia di sini hari ini, , beliau berkata RUU berkenaan telah dipersetujui oleh pemegang taruh utama termasuk badan bukan kerajaan dan juga pengusaha vape.

"Kita perlu di landasan betul untuk mencipta sejarah. RUU ini mengambil masa 10 tahun untuk digubal...memang wujud pasaran gelap tetapi jangan gunakan ia untuk berhujah membantah undang-undang yang bertujuan untuk kesihatan awam. Kita akan perangi pasaran haram," katanya.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan RUU berkenaan berkemungkinan ditentang oleh beberapa MP yang antara lain menggunakan alasan isu pasaran haram rokok dan vape, kaedah pelaksanaan dan penguatkuasaan yang tidak jelas.

Khairy sebelum ini berkata cadangan pelaksanaan peruntukan generasi penamat (GEG) dalam RUU itu adalah untuk melindungi generasi muda yang lahir selepas 2005 daripada terjebak dengan tabiat merokok dan menjadi mangsa ketagihan produk merokok, serta mengurangkan peratus perokok di Malaysia iaitu kurang daripada lima peratus menjelang 2040.

Menurutnya, sekiranya RUU itu diluluskan, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang dapat meluluskan ia sebagai undang-undang yang melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk vape terhadap generasi muda lahir selepas 2005.

Mengakui terdapat pasaran haram industri rokok dan vape, Khairy berkata KKM akan memerangi habis-habisan pasaran haram itu menerusi kerjasama pasukan penguat kuasa.

-- BERNAMA