Skip to main content

Malaysia

Jangan polemikkan identiti etnik, guna semangat Kaamatan untuk terus bersatu

KOTA KINABALU, 26 Mei -- Timbalan Ketua Menteri II yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkongsi beberapa pengumuman dan perkembangan terkini berkaitan sambutan pesta itu pada sidang media hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA.
Dr Joachim berkata kecenderungan segelintir pihak yang cuba mengasing-asingkan identiti kaum sedia ada boleh menjejaskan keutuhan perpaduan telah lama terjalin erat. - Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diseru untuk tidak mempolemikkan istilah etnik atau memisahkan identiti pelbagai kaum di negeri ini melalui terma baharu, sebaliknya terus bersatu di bawah payung harmoni Pesta Kaamatan.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata kecenderungan segelintir pihak yang cuba mengasing-asingkan identiti kaum sedia ada boleh menjejaskan keutuhan perpaduan telah lama terjalin erat.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 itu menasihatkan supaya identiti Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) harus berdiri sebagai entiti kukuh mewakili semua etnik di negeri ini, daripada menggunakan istilah baharu seperti "Momogun".

"Sebagai orang lama, saya menasihati anak-anak muda kita agar tidak memisahkan identiti Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) yang sepatutnya terus teguh sebagai satu entiti, sebaliknya gunakanlah medan Kaamatan ini untuk memperkukuh kesatuan kita," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan sesetengah pihak terutama di media sosial kononnya Pesta Kaamatan hanya dirai etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus sahaja, dan dakwaan lain perlunya istilah KDMR itu ditukar kepada “Momogun” bagi mencerminkan keterangkuman rakyat Sabah.

Dr Joachim, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) memegang gelaran “Bulawan Sigah” berkata tindakan mengasingkan identiti etnik berkenaan hanya akan melemahkan kebersamaan rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata lebih 30 etnik pribumi di negeri ini sebenarnya berkongsi persamaan akar budaya yang sangat kuat dan tidak boleh dipisahkan oleh sempadan geografi atau fahaman berbeza.

Dr Joachim mengambil contoh dari aspek kesenian seperti penggunaan alat muzik tradisional gong, yang digunakan secara meluas dan dikongsi bersama hampir keseluruhan subetnik di Sabah dengan naratif harmoni sama.

"Walaupun kita mengakui wujudnya variasi kecil atau perbezaan rentak pukulan gong antara satu daerah dengan daerah, persamaan asas tersebut membuktikan kita semua berasal daripada akar budaya yang satu," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati para pemimpin masyarakat serta penggiat budaya agar mengekalkan naratif yang membina dan tidak membiarkan istilah terma baharu memecahbelahkan keharmonian kaum.

Katanya fokus utama penganjuran perayaan Pesta Kaamatan pada setiap tahun adalah untuk mempamerkan satu kesatuan budaya Sabah yang utuh, dinamik dan harmoni kepada dunia luar.

Dr Joachim berkata usaha mempamerkan kebudayaan yang bersatu padu ini secara tidak langsung dapat meningkatkan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya berasaskan kepelbagaian etnik unik di rantau ini.

"Matlamat kita adalah untuk menunjukkan kepada dunia luar bahawa kepelbagaian etnik di Sabah ini bukan satu kelemahan, tetapi satu kekuatan luar biasa apabila kita semua dapat bersatu di bawah satu payung kebudayaan," katanya.

Beliau turut berharap agar generasi muda tidak terpengaruh dengan dwiidentiti yang sengaja diwujudkan, sebaliknya terus bangga mempertahankan warisan asli nenek moyang masing-masing dengan penuh tertib.

Katanya, melalui pemahaman budaya yang matang, keharmonian sosiokebudayaan negeri akan kekal mampan sekali gus memandu Sabah ke arah pencapaian masa depan lebih progresif.

Semangat persaudaraan yang dizahirkan sepanjang perayaan pesta menuai ini wajar dijadikan panduan berterusan bagi memastikan kestabilan serta keselamatan negeri terus terpelihara demi masa depan generasi akan datang, katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement