KUALA LUMPUR: Anggota polis yang bertugas di barisan hadapan diarah sentiasa bersedia menggunakan senjata api ketika berdepan sebarang ancaman bagi mengelakkan kejadian anggota cedera parah seperti insiden di Gombak berulang.
Arahan tegas itu dikeluarkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menerusi satu rakaman suara yang ditujukan kepada semua pegawai dan anggota polis di bawah kontinjen Kuala Lumpur.
Menerusi rakaman berkenaan, beliau mengarahkan semua petugas barisan hadapan termasuk anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), pegawai penyiasat dan kereta peronda polis (MPV) supaya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga ketika menjalankan tugas.
Beliau berkata, setiap anggota perlu mahir mengendalikan senjata api serta tahu bertindak apabila berdepan situasi yang boleh mengancam keselamatan diri.
"Saya tidak mahu kejadian seperti yang berlaku di Gombak, apabila ada anggota di bahagian hadapan menjadi mangsa.
"Pastikan semua bersedia dan tahu bertindak sekiranya berdepan sebarang ancaman," katanya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal parah selepas ditetak seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya terputus dalam kejadian di sebuah premis kediaman di Desa Aman Puri, di sini semalam.
Fadil turut menegaskan anggota polis tidak boleh bersikap lembap atau gagal bertindak ketika berdepan situasi berbahaya, sebaliknya perlu mempunyai tahap kesiapsiagaan dan latihan mencukupi.
Beliau turut mengarahkan pegawai yang bertanggungjawab di Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) supaya memastikan arahan berkenaan disampaikan kepada semua elemen operasi dan petugas barisan hadapan.